POLITIK > BERITA

PH LANCAR MANIFESTO PRN SABAH, TUMPU PERKARA ASAS

23/11/2025 05:33 PM

KOTA KINABALU, Nov 23 (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menumpukan kepada perkara asas tetapi dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih berani dan radikal.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata manifesto bertemakan “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” mengandungi senarai keutamaan dengan tujuh agenda untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemajuan sewajarnya.

“PH Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, kita sangat praktikal.

“Komitmen ini adalah berasaskan aspirasi sebenar Sabah yang mahu merasai kemajuan yang sepatutnya mereka nikmati,” katanya semasa melancarkan komitmen berkenaan di sini.

Turut hadir Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

Mustapha berkata senarai keutamaan manifesto itu mengandungi 10 perkara yang akan didanai oleh pemulangan 40 peratus hasil Sabah.

“PH Sabah mengambil posisi untuk bersedia mengurus pemulangan 40 peratus hak Sabah,” katanya. 

Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan melalui penyusunan 10 keutamaan, termasuk keperluan menyelesaikan masalah infrastruktur air, jalan dan elektrik yang berlarutan, selain menambah baik pendidikan, kebajikan rakyat dan memacu ekonomi negeri.

Selain itu, Mustapha berkata manifesto berkenaan turut mengandungi tujuh agenda sebagai prinsip panduan pentadbiran bagi tempoh lima tahun akan datang antaranya memastikan hak Sabah tidak dikompromi, memperkukuh akauntabiliti serta integriti dan melakukan reformasi pentadbiran.

Agenda lain adalah menjadikan anak muda sebagai aset negeri, memacu industri bernilai tinggi, memperkasakan wanita dan mengangkat Sabah sebagai pemain serantau berpengaruh.

Mustapha berkata Sabah memerlukan pendekatan pentadbiran di luar daripada kebiasaan bagi membolehkan negeri itu muncul sebagai pemain serantau yang disegani.

Beliau berkata PH Sabah turut yakin bahawa hak Sabah akan terus terpelihara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas lima dekad, hanya seorang Perdana Menteri yang bersedia menyelesaikan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Beliau ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Mustapha berkata manifesto yang dibentangkan hari ini adalah dinamik dan terbuka kepada penambahbaikan, selain menggalakkan orang ramai meneliti dokumen penuh secara dalam talian. 

Pada PRN Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada 12 calon PKR, DAP (lapan) dan Amanah (satu).

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan