KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah optimistik dapat melaksanakan komitmen dasar yang digariskan dalam manifestonya meskipun bilangan kerusi ditandingi agak kecil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata kekuatan gabungan itu bukan pada jumlah kerusi yang dimenangi tetapi pada komitmen dasar yang akan membentuk asas rundingan pascapilihan raya bagi membentuk kerajaan.
“Ini komitmen kami. Kami tidak bertanding banyak kerusi, kami mungkin kelihatan kecil, (tetapi) apabila kami dijemput untuk berunding membentuk kerajaan seterusnya, kami perlu pihak yang mahu membentuk kerajaan memenuhi komitmen-komitmen ini.
“Kami perlu serius bercakap mengenai dasar apa yang kami mahu laksanakan untuk rakyat, bukan hanya pembahagian jawatan kerajaan, tetapi kami patut bercakap secara serius mengenai dasar,” katanya selepas pelancaran ‘Komitmen Pakatan Harapan Sabah’ di sini hari ini.
Manifesto berkenaan yang menggariskan 10 komitmen utama di bawah tujuh agenda dilancarkan oleh Phoong bersama-sama Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.
Phoong berkata landskap politik Sabah yang melibatkan banyak parti menyebabkan rundingan pascapilihan raya tidak dapat dielakkan, namun perbincangan itu perlu dijalankan secara bertanggungjawab dan bertunjangkan prinsip dasar progresif.
Beliau menjelaskan PH Sabah menyasarkan untuk menggalakkan budaya politik lebih matang iaitu pembentukan kerajaan berasaskan komitmen dasar yang kukuh, seperti diamalkan oleh negara seperti Jerman dan Itali yang mengambil masa berbulan-bulan untuk mencapai konsensus.
Phoong berkata manifesto PH Sabah memberikan keutamaan pada pembangunan ekonomi termasuk menaik taraf pelabuhan dan membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap seperti transit laluan ringan (LRT) untuk Kota Kinabalu bagi mengurangkan kerugian produktiviti akibat kesesakan trafik.
“Menurut laporan Bank Dunia, populasi kita terkandas dalam kesesakan menyebabkan kita rugi kira-kira satu hingga dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kerana apa? Kerana kita tidak mempunyai pengangkutan awam yang baik,” katanya.
Phoong berkata misi mengubah Kota Kinabalu menjadi bandar raya lebih berdaya huni dan lestari telah sekian lama menjadi matlamat utama sepanjang karier politiknya.
“Saya telah berjuang untuk ini sejak 10 tahun lepas ketika saya masih sangat muda. Tetapi, ya, ini sesuatu yang sentiasa dekat di hati saya kerana saya percaya orang KK (Kota Kinabalu) berhak untuk bandar raya yang lebih baik dan lebih berdaya huni,” katanya.
Pada PRN Sabah ke-17 ini, PH bertanding 21 kerusi daripada keseluruhan 73, melibatkan 12 calon PKR, lapan DAP dan seorang daripada Amanah.
Hari mengundi ditetapkan pada 29 Nov ini dan pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial