POLITIK > BERITA

MASIH AWAL UNTUK TENTUKAN KERJASAMA POLITIK JIKA BN GAGAL BENTUK KERAJAAN - JOHARI

24/11/2025 03:53 PM

JOHOR BAHRU, 24 Nov (Bernama) -- Masih terlalu awal untuk Barisan Nasional (BN) menentukan sebarang kerjasama gabungan politik sekiranya parti itu tidak berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu hanya akan diketahui apabila PRN Sabah selesai pada 29 Nov ini.

"Lambat lagi (untuk tentukan kerjasama gabungan politik), (tunggu) PRN Sabah habis," katanya pada sidang media selepas melawat Loji EcoCeres di Pelabuhan Tanjung Langsat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN akan bergabung dengan parti lain sekiranya gagal membentuk kerajaan negeri.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh daripada mereka golongan profesional dan muda.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal esok.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai potensi BN kekal di Johor, Johari berkata negeri itu ditadbir dengan baik di bawah kepimpinan parti berkenaan.

 Beliau berkata kestabilan politik dan dasar yang konsisten juga telah menarik perhatian pelabur serta menjadikan Johor sebagai antara penyumbang tertinggi kepada pendapatan negara.

Johari berkata Johor juga berkembang pesat dengan pembangunan pusat data selain berupaya menarik pelaburan bernilai RM800 juta dari sebuah syarikat pembekalan peralatan di Amerika Syarikat sebelum ini.

"Pengurusan kepimpinan di Johor telah menarik banyak pelabur ke negeri ini kerana (pelabur) tengok Johor ini amat stabil, politik dia sangat kukuh dan dasarnya juga begitu konsisten... jadi ,kita (BN) kena bagi sokongan," katanya. 

Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan