BATU PAHAT, 24 Nov (Bernama) – Seorang warga emas maut selepas dihempap besi penyambung atau longshaft sebuah lori yang tercabut di Jalan Kampung Sri Bengkal di sini, pagi tadi.
Norshahin Juhari, 31, berkata menerima panggilan telefon pada 9.45 pagi memaklumkan kejadian menimpa bapanya Juhari Murid, 63, ibu Zainal Khalid, 58, dan tiga lagi yang dalam perjalanan ke Felda Pemanis, Segamat.
“Saya dimaklumkan kereta Perodua Alza dinaiki mereka terkena besi yang tercabut dari lori dan kejadian itu meragut nyawa ayah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.
Norshahin yang berada di Muar semasa itu berkata segera Unit Forensik HSNI untuk mengetahui kejadian sebenar.
Wanita itu berkata sedih apabila teringat permintaan terakhir arwah yang mahu bertemu cucu Mohd Aidan Rizki Firdaus yang berusia tiga bulan.
“Semalam ayah sempat buat panggilan video, beritahu rindu cucu dan tidak sabar hendak berjumpa selepas kali terakhir berjumpa minggu lepas. Sepatutnya hari ini saya ke rumah ayah.
“Macam tak percaya ayah sudah tiada. Kami sekeluarga reda, tetapi berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Norshahin berkata ibunya masih dalam keadaan terkejut selepas melihat besi besar itu menimpa kereta mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan berkata siasatan sedang dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial