TUARAN, 24 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata dakwaan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikawal oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas dan hanya rekaan politik yang dimainkan pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Pengerusi GRS itu berkata hubungan baik antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan tidak harus disalah tafsir sebaliknya ia perlu demi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Yang penting, kita mesti ada hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan jika kita ingin mengembangkan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen Rumah Kita, Kita Jaga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dekat sini hari ini.
Turut hadir calon GRS bagi kerusi DUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji juga berkata kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bertujuan memastikan Sabah menerima perhatian serta sokongan sewajarnya dalam hal pembangunan, pelaburan dan kebajikan rakyat, bukannya untuk menjejaskan hak negeri.
Beliau berkata GRS tetap parti dominan di Sabah dan segala keputusan kerajaan negeri dibuat berasaskan kepentingan rakyat serta mandat yang diberikan oleh pengundi.
Hajiji turut membidas pihak yang memainkan sentimen seolah-olah Sabah perlu diselamatkan.
Beliau berkata Sabah tidak memerlukan “penyelamat” seperti dilaungkan pembangkang sebaliknya kerajaan yang stabil dan mempunyai rekod pentadbiran yang jelas dalam membangunkan negeri itu.
Hajiji berkata pihak yang melaungkan slogan kononnya mahu menyelamatkan Sabah telahpun diberi peluang mentadbir negeri itu sebelum ini tetapi gagal menunaikan tanggungjawab mereka.
Ketua Menteri itu berkata pembangkang menggunakan naratif tersebut hanya sebagai modal politik bagi mengelirukan rakyat menjelang PRN.
Terdahulu, Hajiji dalam ucapannya berkata GRS telah membuktikan kemampuan mentadbir Sabah menerusi pelaksanaan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan komitmennya mempertahankan kepentingan Sabah.
“Selagi saya menjadi Ketua Menteri, saya akan pertahankan kepentingan Sabah sebaik-baiknya.
"Tidak ada yang kita bagi sama orang luar,” katanya.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial