TAWAU, 24 Nov (Bernama) -- Trend sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi dilihat semakin meningkat sejak enam bulan lepas, kata Setiausaha Agung gabungan itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata calon lawan dari Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga penyandang kerusi, Sarifuddin Hata juga seorang yang bagus namun Ruji disifatkannya sebagai lebih rapat dengan perdana menteri.
“Bezanya, bagus penyandang, dia jauh dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi Datuk Ruji bagus, dia baik dan rapat dengan Perdana Menteri, itu kelebihannya, jadi lebih 24,000 pemilih DUN Merotai jangan lupa dalam kertas undi, nombor empat,” katanya ketika berucap pada ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hotspring di Jalan Air Panas di sini hari ini.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Ruji merupakan pilihan terbaik pengundi Merotai kerana beliau berpengalaman luas sebagai ketua pentadbir ketika menjadi setiausaha beberapa kementerian Persekutuan termasuk ketua setiausaha Kementerian Pendidikan.
“Kalau dia kena jaga lima juta pelajar, kalau dia boleh jaga 400,000 guru, kalau dia boleh jaga 12,000 sekolah dan dia boleh urus peruntukan RM60 bilion, bayangkan kalau kita letak dia sebagai wakil rakyat Merotai, dia boleh jadi wakil rakyat yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya Ruji juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Dia (Ruji) boleh urus dengan baik, dan sebelum dia jadi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dia pernah menjadi Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, semua peruntukan Perdana Menteri ada di situ dan Ruji tahu di mana peruntukan yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution menasihatI pengundi di Merotai supaya memenangkan calon dan parti yang boleh bekerja dengan Perdana Menteri serta kerajaan Persekutuan.
Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri dijangka turun padang untuk bertemu penduduk di Dewan Terbuka Merotai pada 26 Nov ini.
Merotai merupakan satu daripada empat DUN dalam Parlimen Kalabakan selain Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik.
Esok merupakan hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 manakala hari mengundi pada Sabtu ini.
Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N72: MEROTAI: SABAH: 26,179
1. Rhyme @ Reymie Kassim (PIS)
2. Hasan Haris (PN-PAS)
3. Sarifuddin Hata (Warisan)
4. Datuk Ruji Ubi (PH-PKR)
(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,587)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial