Oleh Rohana Nasrah
PAPAR, 25 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang Datuk Jamal Norubit, bertekad membina sistem air graviti dan telaga tiub sebagai alternatif menangani masalah bekalan air yang sering menjejaskan kesejahteraan penduduk kawasan itu.
Beliau berkata pembinaan sistem air graviti dan telaga tiub dilihat sebagai pendekatan inovatif, praktikal, dan berkesan untuk menyediakan penyelesaian jangka pendek dalam usaha memberi akses bekalan air bersih kepada masyarakat setempat.
“Kos membina telaga tiub tidak tinggi, namun ia mampu memberikan penyelesaian segera terhadap masalah air yang kerap dihadapi penduduk Papar. Kadang-kadang, penduduk tidak mendapat air selama berminggu-minggu, atau hanya ada air pada waktu malam, tetapi tiada pada siang hari.
“Jadi, kehidupan harian penduduk kampung sangat terjejas. Justeru, solusi paling dekat adalah membina sistem air graviti. Kaedah ini mudah dan praktikal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengenai pembangunan belia, Jamal, yang berpegang pada cogan kata ‘Calon Baru, Semangat Baru, Idea Baru’, berkata beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan muda sekiranya diberi mandat menerajui DUN Kawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Jamal berkata antara iltizam beliau adalah menyediakan infrastruktur asas yang dekat dengan minat belia, termasuk membina mini stadium sebagai kemudahan bermain bola sepak dengan selesa, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Beri saya peluang untuk berkhidmat di DUN Kawang,” katanya, sambil menekankan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah berbangkit di kawasan tersebut sekiranya dipilih pada pilihan raya negeri kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N28: KAWANG: SABAH: 23,823
1. Samail Bulongik (PIS)
2. Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Datuk Jamal Norubit @ Nerubi (BN-UMNO)
4. Beverley Natalie Koh (STARSABAH)
5. Nin Jellih (Warisan)
(2020: Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar: PN-Bersatu: Majoriti: 5,094)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial