Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Demam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kian memuncak apabila parti politik saling berlumba menganjurkan konsert, persembahan artis dan program santai sebagai strategi memikat pengundi muda pada malam-malam terakhir kempen menjelang hari pengundian 29 Nov ini.
Jika sebelum ini ceramah politik mendominasi minggu akhir kempen, suasana pada tahun ini jauh lebih meriah apabila beberapa parti memilih pendekatan "hiburan santai" bagi menarik pengundi muda, kumpulan yang dilihat signifikan dalam menentukan kemenangan di banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada malam 23 Nov lepas, kempen di DUN Lamag menyaksikan suasana gamat apabila penyanyi legenda Datuk Amy Search menggegarkan pentas dalam program santai anjuran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Fenomena sama turut melimpah ke Kota Marudu apabila artis terkenal seperti Ronnie Hussein, Lan Typewriter, Man Kinabalu dan Yassin Senario memeriahkan program "Santai Anak Muda Marudu" yang dianjurkan bersama calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Bandau Zaidi Jatil.
Program berkonsep hiburan keluarga itu mendapat sambutan luar biasa, dengan majoriti hadirin terdiri daripada golongan muda serta keluarga yang mengambil peluang bersantai dan bergambar bersama artis.
Di DUN Moyog pula, "Konsert Mega Remysta Harapan" anjuran calon PH Remysta Jimmy Taylor bakal mencuri tumpuan malam ini apabila menampilkan persembahan kumpulan popular ‘Atmosfera’ di Buhavan Square, Pekan Donggongon.
Di DUN Bandau, Zaidi akan menutup siri kempen politiknya yang bermula pada 9.30 pagi tadi dengan program "Meninguk Wayang Bersama Anak Muda" pada 9.30 malam.
Felow Kanan Universiti Malaysia Sabah Profesor Madya Dr Bilcher Bala berkata trend kempen berteraskan hiburan semakin ketara pada saat-saat akhir PRN Sabah kerana ia selari dengan perubahan gaya dan tingkah laku pengundi muda, yang kini menjadi kelompok paling kritikal untuk ditawan oleh parti politik.
Beliau berkata kehadiran artis bukan sahaja mampu menarik penyokong parti tetapi juga peminat muzik yang sebelum ini tidak berminat mengikuti ceramah politik sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mesej kempen dan manifesto parti disampaikan.
“Kita tahu dalam kempen tradisional ini, ceramah-ceramah kempen kurang menarik perhatian terutama sekali golongan muda... bila kita selitkan dengan artis, maksudnya peminat yang datang walaupun mereka ini bukan penyokong parti yang menganjurkan ceramah itu.
“Bila kita bawa artis, semua orang akan datang... sebenarnya untuk mendengar artis tetapi pada masa sama, mereka mendengar juga ucapan kempen parti-parti yang menganjur ceramah itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bilcher juga menjangkakan lebih banyak konsert dan program hiburan bakal dianjurkan menjelang baki beberapa hari terakhir sebelum pengundian berlangsung.
Pengundi berumur antara 18 hingga 39 tahun merangkumi 53.8 peratus daripada keseluruhan 1,784,843 pengundi berdaftar di Sabah, menjadikan golongan belia dan dewasa muda blok penentu terbesar dalam PRN Sabah ke-17.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala undi awal berlangsung hari ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial