Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Menilai situasi semasa politik Sabah, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 esok berkemungkinan ‘melahirkan’ kerajaan campuran apabila parti-parti yang bertanding dilihat sukar memperoleh sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk majoriti mudah.
Tempoh kempen, yang bermula sejak penamaan calon 15 Nov lepas dan berakhir pada 11.59 malam ini, juga memperlihatkan saingan sengit tetapi agak seimbang terutama "pertempuran" digital media sosial malah ada kumpulan terutama pengundi muda masih belum membuat keputusan siapa yang akan mereka pilih.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata persaingan sengit serta situasi politik semasa dijangka membawa kepada pembentukan kerajaan campuran yang lebih kompleks dan rapuh.
“Seramai 596 calon yang bertanding di 73 kerusi DUN mencerminkan landskap politik Sabah yang berpecah-belah dan cair daripada segi dinamika, dengan persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding.
"Juga dapat dilihat menerusi persaingan calon 14, 13 dan 11 penjuru yang saya lihat sengit serta luar biasa di beberapa kerusi... maka parti-parti yang terlibat perlu bekerjasama bentuk kerajaan campuran tetapi sejauh mana kekukuhannya sukar dinilai akibat situasi ini,” katanya kepada Bernama.
Syahruddin menjangka Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai blok terbesar namun mereka perlu bekerjasama rapat dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), atau memperoleh sokongan daripada parti tempatan yang lebih kecil bagi membentuk kerajaan yang stabil serta kukuh.
Beliau berharap, walau apapun keputusannya, mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah akan membolehkan kerajaan negeri sentiasa fokus kepada isu seperti kestabilan politik, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, pemerkasaan ekonomi tempatan dan penyelesaian masalah pendatang haram bagi memastikan kemakmuran jangka panjang.
Bagi Penyelidik Unit Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) UMS Dr Azizan H Morshidi, PRN ini bakal membentuk kerajaan campuran melalui kerjasama strategik antara parti utama.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan trend fragmentasi, pertarungan pelbagai penjuru di kebanyakan kerusi dan saingan sengit itu menunjukkan kemungkinan rundingan pascapilihan raya yang konstruktif tetapi mencabar bagi membentuk kerajaan negeri.
“Parti kecil tempatan boleh memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada perpaduan yang lebih besar manakala isu dinasti keluarga dan tuduhan rasuah akan diatasi melalui komitmen bersama untuk melaksanakan reformasi kerajaan negeri selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
“Secara strategik, kempen PRN kali ini mencerminkan cabaran hebat di pihak pakatan prapilihan raya, dengan parti komponen meninggalkan gabungan yang besar, mengakibatkan pertarungan sengit di kerusi marginal,” katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Dr Amrullah Maraining pula menjangkakan pertembungan sengit antara parti tempatan dan nasional, yang membawa naratif masing-masing dalam usaha merebut hati pengundi terutama generasi muda pada hari pengundian esok.
Beliau berkata dalam situasi ini, pengundi muda akan menjadi penentu kemenangan parti politik kerana sokongan mereka, berdasarkan pemerhatian di lapangan, adalah sukar diramal, berubah-ubah dan tidak dipengaruhi sama ada oleh parti nasional mahupun tempatan.
Amrullah berkata kumpulan ini juga tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa kerana mereka menilai dengan teliti apa yang calon dan parti tawarkan malah ada yang hanya akan membuat keputusan pada saat-saat akhir.
"PRN Sabah ke-17, yang menyaksikan 596 calon bertanding mewakili 22 parti politik, perlu menjadi medan untuk menampilkan kematangan politik serta keupayaan parti bertanding berupa hala tuju yang jelas kepada rakyat," katanya.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ismail Rakibe berpandangan unjuran keputusan menunjukkan pengundi Sabah kini membuat pilihan berdasarkan isu semasa, pengalaman harian dan penilaian terhadap calon, bukan lagi berdasarkan garis ideologi.
Beliau berkata dalam keadaan ini, kerajaan negeri yang seterusnya hampir pasti terbentuk melalui proses rundingan selepas keputusan diumumkan, bukannya melalui kemenangan majoriti tunggal.
"Pembentukan Kerajaan Negeri Sabah selepas ini akan bergantung kepada rundingan antara parti, perbincangan antara blok utama seperti GRS, peranan blok pertengahan seperti Warisan dan PH serta sokongan parti kecil yang berpotensi menjadi penentu dalam situasi DUN tergantung," katanya.
Ketua Penyelidik GeoPES UMS Dr Eko Prayitno Joko pula berkata terdapat keperluan bagi kerjasama erat antara kerajaan negeri yang bakal dibentuk dengan Kerajaan Persekutan bagi memastikan kestabilan pentadbiran.
Beliau berkata dalam konteks sebuah negara persekutuan, negeri tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya kerajaan yang stabil dan berfungsi perlu melibatkan kerjasama rapat antara peringkat tempatan dengan kerajaan pusat.
"Fokus kepada isu-isu rakyat haruslah menjadi tumpuan utama untuk kerajaan yang terbentuk bekerja, bukannya sekadar retorik politik semata-mata," katanya.
Eko Prayitno berharap kerajaan negeri yang terbentuk kelak adalah stabil dan berfungsi, selaras dengan aspirasi serta kehendak masyarakat kebanyakan.
Berdasarkan pemerhatian, beliau berpendapat PRN kali ini berlangsung dalam suasana yang lebih matang dan dinamik, dengan penyertaan calon wanita lebih ramai.
Walaupun persaingan adalah sengit, mobilisasi sosial masih berada dalam kerangka demokrasi yang sihat.
“Peningkatan penggunaan media sosial dan komunikasi digital amat ketara khususnya dalam menjangkau pengundi muda yang masih belum menetapkan pilihan mereka namun kaedah ini menuntut kepekaan tinggi kerana penyebaran maklumat yang tidak ditapis boleh menjejaskan literasi pengundi,” katanya.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung esok.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial