PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini mengadakan mesyuarat khas di sini untuk meneliti dapatan awal analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata turut dibincangkan ialah isu yang berkait dengan prestasi kerusi yang ditandingi PKR dan Pakatan Harapan.
"Proses mengumpul pandangan dan dapatan akan diteruskan untuk tindakan susulan diteliti pada mesyuarat MPP akan datang," katanya dalam kenyataan pascamesyuarat khas itu, malam ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata mesyuarat MPP turut menerima taklimat ringkas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR berhubung beberapa tindakan ekonomi terkini termasuk kenaikan had ambang e-invois dan lebihan cukai yang perlu dibayar balik lebih pantas.
Mesyuarat khas berkenaan bermula kira-kira 5 petang tadi dan berakhir dua jam kemudian.
Antara yang dilihat hadir termasuklah Fahmi, Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta ahli MPP Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial