PUCHONG, 8 Jan (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru pemimpin sayap pemuda dalam parti politik supaya sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta bersedia menerima kritikan.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memegang jawatan Pemuda UMNO dahulu dan memahami bahawa pemuda sentiasa mempunyai idealisme berbeza.
“Pemuda mesti mempunyai idealisme yang berbeza tetapi kalau kena pandangan berbeza atau komen-komen, kita (pemuda) mesti terima itu sebagai melayani apa dipanggil sebagai perbezaan pendapat.
“… kita (pemuda) kerap beri komen kritik terhadap orang dan sebagainya (tetapi) bila orang kritik, kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata orang itu tidak demokratik dan tidak terima hakikat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang memberi bayangan kemungkinan meletak jawatan dengan mengatakan beliau mungkin telah sampai ke tahap perlu berundur.
Ahmad Zahid berpendapat bahawa Dr Muhamad Akmal atau mana-mana pemuda dalam parti politik tidak seharusnya mencari jalan singkat dengan melakukan tindakan tidak wajar hanya kerana ada perbezaan pendapat dalam beberapa perkara.
“Kalau orang tidak setuju dengan kita, mula kita mahu cari jalan singkat. Jangan begitu, ini perjuangan politik. Kita (perlu) terima bahawa dalam politik ini bukan semua orang bersetuju dengan kita, kalau tidak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan penjelasan bukan dengan tindakan yang lain.
“Saya tidak tujukan kepada beliau (Dr Muhamad Akmal) tetapi secara umum mana-mana pemimpin pemuda dalam parti mesti ada idealisme. Soal saranan itu diterima atau tidak, idealisme tetap diperjuangkan, ada kaedah untuk kita menyantuni dan mendepani banyak perkara,” katanya.
Ditanya sama ada UMNO terbuka untuk menerima pengunduran Dr Muhamad Akmal, Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah memikirkan perkara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial