KOTA KINABALU, 8 Jan (Bernama) -- Sebanyak 926 pegawai dan anggota polis di negeri ini ditugaskan bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kesemua pegawai dan anggota akan ditugaskan di lapangan sepanjang tempoh PRK itu diadakan bagi memastikan kelancaran proses demokrasi di kawasan Parlimen Kinabatangan yang mempunyai tiga DUN iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut.
“DUN Kuamut berada di bawah pentadbiran IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Beluran manakala Lamag dan Sukau di bawah IPD Kinabatangan, penyelarasan rapi perlu dilakukan bagi memastikan tiada sebarang gangguan sepanjang tempoh PRK.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendapatkan bantuan keanggotaan dari daerah berhampiran iaitu IPD Sandakan, IPD Lahad Datu, IPD Semporna serta Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan pada Sabtu ini (10 Jan) manakala 24 Jan ditetapkan sebagai hari pengundian serta pengundian awal pada 20 Jan.
Dalam pada itu, Jauteh mengingatkan semua parti politik yang bertanding supaya berkempen dengan tertib dan profesional serta menjaga sensitiviti masyarakat setempat selain tidak memainkan isu sensitif yang boleh menimbulkan provokasi atau ketegangan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita juga mahu masyarakat di kawasan terlibat memberikan kerjasama kepada PDRM dan SPR agar PRK ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mengandungi 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial