POLITIK > BERITA

PERSIAPAN PUSAT PENAMAAN CALON PRK KINABATANGAN, LAMAG LANCAR- PEGAWAI PENGURUS

09/01/2026 03:38 PM

KINABATANGAN, 9 Jan (Bernama) -- Persiapan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berjalan lancar dan kini berada di peringkat akhir. 

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Eddy Syaizul Rizam Abdullah berkata persiapan di Dewan Sri Lamag di sini yang dijadikan Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi kini tertumpu kepada susun atur pusat, protokol keselamatan, dan aspek teknikal.

Beliau menasihatkan calon agar mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan kelancaran proses.

Esok adalah hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan dan ia akan dibuka bermula 9 pagi dan ditutup sejam selepas itu.

Menyentuh mengenai keadaan cuaca tidak menentu dan musim hujan di Kinabatangan yang mungkin menjejaskan perjalanan hari pengundian, Eddy Syaizul Rizam berkata pihaknya telah bersiap siaga dengan pelan kontingensi sekiranya berlaku banjir atau kecemasan.

Langkah termasuk penggunaan helikopter untuk logistik jika jalan darat terputus, dengan alternatif menggunakan bot atau kenderaan darat sekiranya helikopter tidak dapat beroperasi, walaupun perjalanan mengambil masa lebih lama.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 20 pusat mengundi akan ditutup lebih awal pada 24 Jan, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ganda di DUN Sukau dan SK Inarad di DUN Kuamut, pada pukul 12 tengah hari.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan,  24 Jan sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 20 Jan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan