KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar optimis pendekatan berstrategi serta berteraskan keikhlasan mampu menambat hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.
Mohd Kurniawan Naim, 32, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan berkata beliau bertekad memastikan kesinambungan perkhidmatan di Parlimen berkenaan selepas pemergian bapanya Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Sudah semestinya tanggungjawab ini besar. Namun hasil pengalaman selama dalam politik, insya-Allah saya akan berikan khidmat bakti secara lebih meluas. Semangat Allahyarham (Bung Moktar) akan selalu bersama saya,” katanya kepada pemberita di Dewan Sri Lamag di sini hari ini.
Pada PRK yang bermula hari ini, Mohd Kurniawan Naim yang merupakan calon termuda ditentang dua pencabar, Datuk Saddi Abdul Rahman, 67, (Warisan) dan Goldam Hamid, 40, (Bebas).
Sementara itu, calon BN bagi DUN Lamag Mohd Ismail Ayob berkata beliau tidak memandang ringan cabaran yang dihadapi dan akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Warisan Mazliwati Abdul Malek.
Mohd Ismail, 44, yang lebih dikenali dengan singkatan nama “MIHA” berkata meskipun Mazliwati adalah rakan seperjuangan dalam arena politik, namun beliau melihat pertembungan itu sebagai persaingan sihat.
“Dalam pilihan raya tiada istilah seri, yang ada cuma menang atau kalah. Justeru, perlu untuk kita berlawan dengan sebaik mungkin.
"Alhamdulillah, proses penamaan calon hari ini berjalan lancar. Harapannya agar anak muda seperti kami dapat diberi peluang untuk memimpin DUN Lamag dan juga Parlimen Kinabatangan," katanya.
Calon Warisan, Saddi pula bertekad mengubah stigma Kinabatangan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen, manakala Mazliwati, 53, memilih bertanding di peringkat DUN kerana skala kawasan yang lebih kecil bagi memudahkannya menumpukan perhatian kepada keperluan rakyat setempat.
Bagi calon Bebas yang juga peguam, Goldam, 40, keputusan menawarkan diri bertanding di PRK Kinabatangan adalah untuk memberikan pilihan kepada pengundi.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam, 23 Jan dan menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial