POLITIK > BERITA

PRK KINABATANGAN, LAMAG: HARI TERAKHIR KEMPEN, CALON PERHEBAT GERAK KERJA 

23/01/2026 01:57 PM

KINABATANGAN, 23 Jan (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang memasuki hari terakhir hari ini, menyaksikan semua calon  bertanding melipatgandakan gerak kerja kempen bertemu pengundi bagi meraih sokongan sebelum hari pengundian, esok.

Bermula awal pagi, calon mula melakukan kunjungan dari rumah ke rumah, pertemuan bersama komuniti setempat serta program berskala kecil di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) terpilih.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lamag Mohd Ismail Ayob memanfaatkan hari terakhir kempen dengan menghadiri beberapa program antaranya Program Santai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program komuniti serta menyertai aktiviti konvoi bermotor, sebelum menutup kempen dengan pertemuan santai bersama jentera parti pada sebelah malam.

Sementara itu, calon BN bagi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar pula memulakan kempen hari terakhir dengan menghadiri program bersama GiatMARA Kinabatangan disusuli dengan beberapa siri kempen rumah ke rumah serta menghadiri ceramah kelompok kecil dalam usaha meraih sebanyak mungkin undi.

Calon Warisan bagi PRK Parlimen Kinabatangan Datuk Saddi Abdul Rahman pula mengisi hari terakhir kempen dengan menghadiri program bersama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kawasan DUN Kuamut.

Sementara itu, calon Warisan PRK DUN Lamag Mazliwati Abdul Malek dan calon Bebas PRK Parlimen Kinabatangan Goldam Hamid setakat ini belum mempunyai jadual kempen.

Mohd Ismail, Mohd Kurniawan Naim, Saddi dan Mazliwati juga turut memanfaatkan platform media sosial bagi menyampaikan mesej akhir masing-masing kepada pengundi.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Saddi  dan Goldam, manakala bagi DUN Lamag, pertandingan berlangsung satu lawan satu antara Mohd Ismail dan Mazliwati.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Sebanyak 48,526 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada PRK Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi akan memilih bagi DUN Lamag, esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan