POLITIK > BERITA

PRK KINABATANGAN, LAMAG: CALON BN HARAP SEMUA PENGUNDI KELUAR TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB

23/01/2026 02:31 PM

KINABATANGAN, 23 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, berharap semua pengundi yang layak supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka, esok.

Kedua-dua calon itu menyatakan bahawa pemilihan wakil rakyat di dua kawasan berkenaan amat penting bagi memastikan suara rakyat dapat diwakili.

“Saya harap semua pengundi dapat keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka,” kata Mohd Kurniawan Naim selepas menyantuni pelatih GiatMara Kinabatangan di sini hari ini, dan turut dihadiri Mohd Ismail.

Kempen PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah memasuki hari terakhir hari ini dan akan tamat pada 11.59 malam. 

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada esok pagi, manakala ribut petir dijangka melanda pada petang dan hujan sebelah malam.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan