JOHOR BAHRU, 4 Mac (Bernama) -- Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor mengenal pasti 28 kerusi berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi MPN PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu diputuskan dalam pemukiman Bengkel Pilihan Raya PKR 2026 selama dua hari bermula 28 Feb di Muar yang menghimpunkan kepimpinan dan jentera parti negeri.
“Penetapan sasaran ini dibuat selepas penyelarasan kekuatan organisasi melibatkan kesemua 26 cabang PKR Johor dilaksanakan.
“Penetapan 28 kerusi ini hasil penelitian menyeluruh terhadap kedudukan semasa parti dan potensi saingan di kawasan yang dikenal pasti lebih kukuh. Kita mahu bergerak dengan sasaran yang jelas serta persiapan rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata perkara itu telah dikemukakan kepada Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari ketika beliau mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat menyampaikan amanat pada bengkel Pemantapan Jentera Pilihan Raya peringkat Johor dan Melaka baru-baru ini.
Beliau berkata amanat itu memperjelas hala tuju parti dalam menghadapi PRN yang bakal menjelang.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata PKR Johor mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai kemungkinan landskap politik semasa termasuk situasi pertandingan tiga penjuru dan kesinambungan kerjasama dalam kerangka gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Ia juga merangkumi kemungkinan PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara serentak atau berasingan.
Beliau berkata pengukuhan jentera parti kini ditumpukan kepada beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan melibatkan penyelarasan operasi lapangan dan penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun.
“Gerak kerja kita kini memasuki fasa baharu dengan jajaran yang lebih terarah. Fokus utama ialah memastikan jentera semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga dan mampu bergerak secara bersepadu.
“Perkembangan ini menandakan kesiapsiagaan PKR Johor dalam menghadapi PRN akan datang dengan strategi lebih jelas serta struktur gerak kerja yang diperkemas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial