KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Bank pelaburan mengunjurkan harga minyak mentah Brent boleh menurun kepada US$70–90 setong (bbl) (US$1 = RM3.95) selepas melebihi US$100/bbl untuk tempoh yang singkat berikutan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah.
Menurut Public Investment Bank Bhd, laluan eksport yang terhad dan kapasiti penyimpanan yang berkurangan boleh memaksa lebih ramai pengeluar mengurangkan pengeluaran, sekali gus meningkatkan risiko gangguan tersebut berlarutan berbanding bersifat sementara.
Dalam senario ini, katanya pasaran boleh beralih daripada gangguan transit kepada kejutan bekalan fizikal, berpotensi mengekalkan harga minyak melebihi US$100/bbl.
“Senario asas kami mengandaikan harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$100/bbl dalam tempoh lima bulan akan datang, mencerminkan masa yang diperlukan untuk memulihkan keyakinan terhadap penghantaran, pengurangan inventori global secara berperingkat bagi mengimbangi gangguan bekalan dan premium risiko geopolitik yang kekal tinggi.
“Harga boleh menjadi sederhana kepada US$90/bbl menjelang akhir tahun ini jika ketegangan mereda dan trafik kapal tangki melalui Selat Hormuz kembali normal,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank itu menaikkan unjuran harga Brent kepada purata US$95/bbl pada 2026 dan menaik taraf sektor minyak dan gas kepada 'meningkatkan pegangan'.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikannya memaklumkan bahawa ketegangan semasa dilihat lebih serius daripada konflik Israel-Iran selama 12 hari pada Jun 2025 tetapi dijangka tidak mencapai tahap keseriusan perang Rusia-Ukraine 2022, yang mendorong Brent hampir kepada US$140/bbl berikutan sekatan dan gangguan bekalan.
HLIB menyemak semula unjurannya untuk Brent pada 2026 dan 2027 kepada US$70/bbl dan US$65/bbl daripada US$65/bbl dan US$60/bbl sebelum ini.
“Bagaimanapun, jika berlaku gencatan senjata, kami menjangka harga Brent boleh menurun kepada US$60 hingga 65/bbl,” katanya, mengekalkan saranan 'meningkatkan pegangan' ke atas sektor minyak dan gas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial