GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang tidak melihat inisiatif Rumah Bangsa sebagai sesuatu yang menjejaskan tumpuan ketika ini, sebaliknya gabungan itu memberi fokus kepada usaha mempergiat gerak kerja parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi PH negeri Chow Kon Yeow berkata gabungan itu kini menumpukan perhatian kepada tanggungjawab dan kerja yang perlu dilaksanakan kepada rakyat, sekali gus memperkukuh sokongan rakyat negeri berkenaan.
“Pada peringkat ini, lebih baik kami tumpu perhatian kepada kerja-kerja kami. Apa yang berlaku di luar (PH) adalah di luar kawalan kami.
“Kami jaga rumah kami sendiri, sokongan kami dan kerja kami,” katanya selepas menghadiri Jamuan Tahun Baharu Cina dan Sambutan Hari Wanita anjuran Dewan Perniagaan Wanita Cina Pulau Pinang (PWCC) di sini hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata PH akan terus menumpukan usaha memperkukuh kekuatan dalaman parti selain memastikan sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan terus dipertingkatkan.
Pada masa sama, beliau berkata gerak kerja PH juga akan mula dipertingkatkan selaras dengan perkembangan politik semasa yang dilihat semakin rancak.
Pada Jumaat lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial