KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) merancang menstruktur semula organisasinya daripada 74 bahagian kepada 26 dalam usaha memperkukuh dan memperkemaskan parti.
Ketua Penerangann PGRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata langkah itu dipersetujui Majlis Tertinggi parti berkenaan bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata penstrukturan semula itu bertujuan mengukuhkan PGRS sebagai tunjang kepada Kerajaan Perpaduan di Sabah dan memperkasakan perjuangan membela rakyat.
“Penstrukturan semula ini akan memberi banyak kebaikan lagi dalam perjuangan Gagasan Rakyat untuk membela rakyat,” katanya kepada pemberita semalam.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah itu berkata struktur baharu dijangka berasaskan 25 kawasan Parlimen di Negeri di Bawah Bayu serta satu di Labuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu menjadi hala tuju baharu parti dalam memperkukuh operasi PGRS di semua peringkat selain memudahkan pelaksanaan aktiviti.
Nizam juga berkata PGRS akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk pindaan Perlembagaan parti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial