SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: PASUKAN RENANG PULAU PINANG SASAR BAWA PULANG TIGA EMAS

22/09/2024 02:34 PM

GEORGE TOWN, 22 Sept (Bernama) -- Pasukan renang Pulau Pinang bersiap sedia menggalas cabaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Timbalan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Pulau Pinang Dr Mohd Sharizal Abdul Aziz yakin dengan barisan atlet terbaik yang diturunkan pada edisi ini, sasaran itu dapat direalisasikan meskipun menjangkakan saingan sengit daripada atlet dari negeri lain.

“Sasaran kita realistik ditambah dengan latihan intensif empat kali seminggu kita percaya atlet boleh mengutip tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa. Namun, jika mampu dapat lebih daripada itu ia merupakan bonus kerana ada beberapa acara yang dilihat berpotensi dapat lebih tiga pingat (emas).

“Cuma dua tahun kebelakangan ini, kita lihat kebangkitan dari negeri lain agak drastik, jadi cabaran akan lebih sengit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan atlet para renang di Kompleks Kolam Renang Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Mohd Sharizal yang juga bekas atlet para renang Pulau Pinang berkata secara tradisi, Sabah dan Sarawak merupakan pencabar terdekat bagi pasukan renang negeri ini, namun kali ini Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah juga dilihat bakal memberikan saingan sengit.

Mengulas lanjut, Mohd Sharizal berkata pemilihan atlet dibuat berdasarkan catatan ujian masa terbaik ketika menyertai Kejohanan Para Renang Kebangsaan Sirkit 1 dan 2 yang berlangsung pada Mac dan Julai lepas.

Pengurus pasukan para renang Pulau Pinang Rashidah Mat Saad berkata skuad renang menghantar 10 atlet berusia antara 14 hingga 29 tahun termasuk seorang wanita, yang akan bertanding dalam tiga klasifikasi iaitu kecacatan fizikal (lapan) dan masing-masing seorang atlet kecacatan penglihatan dan masalah intelektual.

Beliau berkata pada edisi lepas di Kuala Lumpur, pasukan para renang Pulau Pinang memperoleh 10 emas, empat perak dan tiga gangsa.

“Untuk edisi kali ini, kita mengetengahkan tiga muka baharu manakala tujuh lagi ialah muka lama yang pernah beraksi pada Para SUKMA dan memenangi pingat buat kontinjen Pulau Pinang. Berdasarkan prestasi semasa, kita lihat mereka menunjukkan banyak peningkatan,” katanya.

Sementara itu, Firdaus Fariduddin Noordin, 24, yang kudung kaki kiri selepas ditimpa kemalangan pada 2011 ketika berusia 12 tahun, bertekad mahu membaiki catatan masa peribadi acara 400 meter gaya bebas kategori S9 iaitu 6 minit 4 saat yang dicatatkan ketika temasya di Kuala Lumpur dua tahun lepas.

“Ini penyertaan ketiga saya dalam Para SUKMA dan pada dua edisi sebelum ini saya berjaya menyumbang masing-masing satu emas tetapi untuk kali ini, saingan sengit sebab Selangor dan Sarawak turunkan atlet kebangsaan,” katanya.

Mohd Zulkiffli Mazeri, 29, pula mendambakan untuk membawa pulang pingat emas buat kontinjen Pulau Pinang bagi acara yang disertai iaitu gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu, selain acara berpasukan dan rampaian.

“Bagi kuak kupu-kupu, ia agak mencabar dan saya pula lumpuh separuh badan dari paras dada hingga kaki, jadi pinggang tidak kuat. Saya hanya menggunakan kekuatan tangan untuk berenang, tetapi saya yakin mampu melakukannya.

“Mula-mula nak berenang dulu memang susah nak dapat rentak, tetapi saya tengok ada OKU (Orang Kurang Upaya) lain yang lebih teruk boleh, kenapa saya tidak? Jurulatih pun banyak beri tunjuk ajar dan latihan cara nak langkah dengan betul, tetapi dari segi kelajuan dan teknikal kita kena cari sendiri,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

Sukan renang menawarkan 60 pingat secara keseluruhan dan saingan merebut pingat akan bermula esok hingga 26 Sept bertempat di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, Petra Jaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan