SUKAN > BERITA

KEJOHANAN KELAB ASEAN: TFC GAGAL RAIH TIGA MATA DI LAMAN SENDIRI

25/09/2024 11:50 PM

KUALA NERUS, 25 Sept (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) hanya meraih satu mata selepas seri 2-2 dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC (DATH FC) dalam perlawanan Kumpulan A, Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.

Babak awal perlawanan berlangsung hambar tanpa sebarang percubaan menarik daripada kedua-dua pasukan yang gagal menemui rentak permainan.

Namun, pada minit ke-22, pasukan tuan rumah yang dibimbing Tomislav Steinburckner berjaya memecah kebuntuan apabila pemain sayap Muhammad Akhyar Rashid, melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menghasilkan gol.

Teruja dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan terhadap kubu pertahanan lawan bagi mencari jaringan tambahan dalam usaha mendapatkan tiga mata pertama.

Tekanan demi tekanan yang diberikan oleh tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Manuel Ott menjaringkan gol kedua skuad Penyu, sekali gus meletakkan mereka mendahului 2-0.

Namun, kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat yang dibimbing oleh Velizar Emilov Popov berjaya merapatkan jurang dengan gol pertama menerusi pemain import, Luiz Soares, pada masa tambahan babak pertama, diikuti gol penyamaan pada minit ke-52.

Gol kedua DATH FC hadir selepas pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, secara tidak sengaja tertolak bola ke gawang sendiri.

Baki perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun gagal disempurnakan sehingga tamat permainan.

Keputusan kekal seri hingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan