SUKAN > BERITA

JDT SIAP SEDIA HADAPI PERLAWANAN SUKAR MENENTANG SHANGHAI SHENHUA

30/09/2024 08:09 PM

ISKANDAR PUTERI, 30 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) menjangkakan perlawanan yang sukar menentang Shanghai Shenhua FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam esok.

Ketua Jurulatih Hector Bidoglio mengakui kelebihan bermain di gelanggang sendiri tidak menjamin kemenangan mudah, malah anak buahnya perlu berada di tahap terbaik untuk menewaskan pasukan gergasi China itu.

“Ia akan menjadi perlawanan yang menarik tetapi mencabar. Oleh itu, kami perlu kekal fokus dan agresif kerana ini perlawanan yang penting. Para pemain telah bekerja keras untuk berada di pentas ini.

“Kami tahu pihak lawan sangat bagus terutamanya dalam situasi ‘bola mati’ namun kami percaya kepada kemampuan pemain kami,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Beliau berkata JDT perlu memperbaiki taktik ketika berdepan situasi 'bola mati’ untuk memastikan kemenangan dan meraih tiga mata penuh.

Bidoglio berkata pemain tengah JDT Enzo Lombardo tidak akan beraksi kerana mengalami kecederaan semasa perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Pengurus Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky berkata beliau menjangkakan perlawanan yang sukar menentang JDT walaupun pasukan itu telah membuat persiapan rapi.

Beliau berkata walaupun pasukan itu menempuh jadual perlawanan yang padat, mereka bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.

Pengurus kelahiran Rusia itu berkata beliau yakin JDT akan menurunkan semua pemain terbaik dan  menamakan Arif Aiman Mohd Hanapi dan Natxo Insa sebagai pemain yang perlu diberi perhatian.

“Bagaimanapun, saya melihat peluang masih terbuka untuk kami dan juga JDT kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, sudah pasti kami mahukan sesuatu daripada kejohanan ini,” katanya.

Perlawanan ini dijangka berlangsung dengan intensiti tinggi memandangkan JDT telah seri 2-2 dengan Shanghai Port pada perlawanan pembukaan pada 18 Sept lepas manakala Shanghai Shenhua FC menewaskan Pohang Steelers dari Korea Selatan 4-1, sehari sebelum itu.

Perlawanan liga rantau Asia Timur akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dengan JDT akan menentang Shanghai Shenhua FC, Ulsan HD FC, Buriram United dari Thailand dan Pohang Steelers.

Perlawanan di tempat lawan bagi skuad Harimau Selatan adalah menentang Shanghai Port, juara Liga A Australia Lelaki Central Coast Mariners FC dan Gwangju FC (Korea Selatan).

ACLE dahulunya dikenali sebagai AFC dan dijadual diadakan dari 16 Sept hingga 19 Feb 2025, menggunakan format ‘swiss-system’ yang sama dengan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2024/2025.

Berdasarkan format ini, 24 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Asia Barat dan Asia Timur dengan pasukan dalam setiap liga berdepan lapan lawan berbeza menerusi empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Lapan pasukan teratas setiap liga akan mara ke pusingan 16 terbaik yang dijadualkan pada Mac 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan