SUKAN > BERITA

TEWAS KEPADA JDT: KDN FC AMBIL POSITIF, FOKUS PERTEMUAN DENGAN NSFC

23/09/2024 12:09 PM

ISKANDAR PUTERI, 23 Sept (Bernama) -- Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengambil sisi positif daripada kekalahan kepada juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih Rezal Zambery Yahya berkata pemain menjalankan tugas dengan baik dan mampu menyekat Harimau Selatan pada babak pertama perlawanan, sebelum dibolosi dua gol pada lima minit terakhir.

“Perancangan untuk menyekat 40 minit pertama itu menjadi, cuma mungkin disebabkan keletihan dan hilang fokus apabila diasak menyebabkan kita dibolosi enam gol.

“Bagaimanapun, ada perkara positif yang boleh diambil, kita boleh mencipta jaringan dan berjaya membuat gerakan berbahaya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Rezal berkata antara yang perlu diperbaiki ialah posisi serangan, agar tidak terlalu gopoh sehingga kehilangan bola dan seterusnya gagal menguasai perlawanan.

Rezal Zambery berkata mereka akan memberikan fokus pada aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jumaat ini sekali gus berjuang untuk mengeluarkan pasukan daripada kedudukan tercorot liga.

Beliau berkata dua pemain import iaitu Oday Kharoub dan Michal Jerabek yang tidak diturunkan malam tadi juga, akan membantu pasukan pada perlawanan seterusnya itu. 

“Dua pemain import ini memang kita simpan untuk lawan NSFC, sebab masing-masing sudah mengutip dua kad kuning dan kita tidak boleh ambil risiko.

“Jika mereka dilayangkan satu lagi kad menentang JDT, maka mereka akan terlepas aksi bertemu NSFC. Oleh sebab itu, ketiadaan mereka pada perlawanan malam tadi nampak seperti pasukan tidak lengkap,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pemain mereka terus menunjukkan permainan cemerlang dan mahukan kemenangan.

“Saya dapati para pemain tidak kepenatan walaupun telah melalui perlawanan menentang Shanghai Port FC pada Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) empat hari lepas.

“Buat masa ini, tentunya saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain saya, ketika bertahan dan menyerang, kualiti yang kami ada membolehkan kami menjaringkan gol dan ia amat penting bagi kami,” katanya.

Beliau turut memuji Bergson Da Silva yang menjaringkan tiga gol dan Mohd Arif Aiman Mohd Hanapi (dua gol) yang sekaligus membolehkan kemenangan besar terhadap KDN FC

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan