SUKAN > BERITA

SOHAIL DILANTIK PENOLONG JURULATIH SPEEDY TIGERS

01/10/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Legenda hoki yang juga pakar pukulan sudut penalti Pakistan Sohail Abbas dilantik sebagai penolong jurulatih skuad hoki kebangsaan berkuat kuasa hari ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata kontrak Sohail adalah selama setahun dengan pilihan tambahan bagi tempoh setahun lagi.

Beliau berkata Sohail, 49, akan memulakan tugas pertamanya bersama ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh pada kempen Piala Tun Abdul Razak di Johor Bahru, bermula esok.

“Kita memerlukan seorang pakar terutamanya dalam meningkatkan lagi ketajaman pukulan sudut penalti. Sebelum ini kita pernah melantik Chris Ciriello namun beliau tidak lama kerana terikat dengan komitmen lain.

“Kehadiran Sohail diharap dapat meningkatkan peluang pasukan kita untuk menterjemahkan pukulan sudut penalti kepada jaringan sebanyak 30 hingga 40 peratus kerana dalam situasi tertentu, ia boleh menjadi penentu kemenangan atau kekalahan sesebuah pasukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat MHC di sini.

Untuk rekod, Sohail yang beraksi untuk Pakistan dari 1998 hingga 2012, memegang rekod sebagai penjaring gol terbanyak dunia dengan 348 jaringan dan pernah meraih beberapa gelaran termasuk pingat emas di Sukan Asia Guangzhou 2010.

Sementara itu, Sohail berkata beliau teruja untuk memulakan tugas bersama skuad hoki negara dan berjanji mencurahkan segala ilmu dimilikinya bagi membantu meningkatkan prestasi Speedy Tigers yang ketika ini berdepan prestasi kurang memberangsangkan.

“Akan mengambil masa (untuk melihat peningkatan). Tapi saya akan cuba sedaya upaya dan ikhlas (membantu pasukan Malaysia),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan