SUKAN > BERITA

AARON-WOOI YIK DAN ZII JIA TERIMA ‘DURIAN RUNTUH’ DARIPADA 100PLUS

03/10/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menerima ‘durian runtuh’ atas kemenangan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM100,000. 

Mereka menerima insentif berkenaan daripada 100PLUS dalam satu majlis diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini. 

Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd Leong Wai Yin berkata pemberian itu adalah bagi menyatakan kekaguman terhadap kesungguhan wakil negara berjuang bermati-matian untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia.

“Ini merupakan insentif istimewa yang 100PLUS berikan kepada duta jenama kita. Ini selain dari apa yang telah kami berikan kepada mereka untuk fi sebagai duta jenama kerana mereka telah memperjuangkan semua semangat yang ditunjukkan,” katanya kepada pemberita. 

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik bersyukur atas insentif diterima dan bercadang untuk mengadakan makan besar bersama barisan kejurulatihan dan keluarga yang sentiasa menyokong mereka dalam susah dan senang.

“Kita dah dengan 100PLUS selama lebih lima tahun dan kita punya hubungan pun masih berjalan. Jadi, sebagai duta, kami menghargainya dan akan terus berjuang sehingga kami mendapat lebih insentif,” kata Aaron. 

Dalam pada itu, Zii Jia berkata wang berkenaan bakal membantunya menyertai tiga kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selain akan terus berusaha untuk menarik minat ramai lagi penaja buat dirinya. 

“Tiga kejohanan sahaja RM100 ribu. Saya percaya (untuk dapatkan lebih banyak penaja) saya perlu berjuang menunjukkan hasil cemerlang terlebih dahulu. 

“Apabila keputusan baik, sudah tentu penaja datang, wang datang. Jadi, seperti yang saya katakan, saya sangat menghargai apa yang 100PLUS telah lakukan, bukan hanya wang, tetapi sokongan kepada saya sejak berusia 19 tahun sampai sekarang walaupun lepas keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan