SUKAN > BERITA

STADIUM MPM SEDIA JADI KUBU KEDUA PERAK FC

15/10/2024 08:36 PM

MANJUNG, 15 Okt (Bernama) -- Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sudah bersedia untuk berfungsi sebagai 'kubu kedua' buat skuad Perak FC apabila naik taraf saliran dan padang Stadium Perak di Ipoh bermula November depan. 

Yang Dipertua MPM Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata pihaknya yakin dapat memenuhi keperluan pasukan The Bos Gaurus untuk mengharungi baki kempen Liga Super, termasuk saingan Piala Malaysia kelak. 

Beliau berkata setakat ini segalanya berjalan lancar terutama dari segi kualiti padang dan sistem saliran perparitan bagi memenuhi kehendak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Sebenarnya, pihak MFL ada mengadakan lawatan ke stadium baru-baru ini bagi melihat kemudahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi membolehkan Stadium MPM menganjurkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M). 

"Cuma buat masa ini, semua perlawanan akan dijadualkan pada sebelah petang sahaja memandangkan ketika ini kecerahan lampu limpah stadium masih di bawah paras minimum syarat MFL iaitu 1,200 lux (kawasan kecerahan) dengan setakat ini Stadium MPM berada pada tahap antara 800 hingga 900 lux sahaja," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi itu Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong dan Pengarah Teknikal Perak FC Raja Azlan Shah Raja So'ib dan Pengarah Unit Pusat Setempat MPM yang juga Pengurus Manjung FC Abdul Rahim Syah Khalib. 

Pada 26 Sept lepas, media melaporkan Perak FC dalam kenyataan memaklumkan sesi pemeriksaan telah diadakan dengan dihadiri oleh wakil pasukan itu, MFL, MPM, Astro dan pasukan video bantuan pengadil (VAR) bagi menilai keadaan terkini Stadium Manjung.

Berdasarkan perancangan, Stadium Perak akan ditutup kira-kira lapan bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula penghujung bulan ini dan dijangka siap pada Jun tahun depan. 

Sebagai alternatif, Stadium MPM menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Yusri Che Lah beraksi selaku gelanggang tuan rumah yang mempunyai kapasiti kira-kira 15,000 penonton.

Sementara itu, Neow berkata pihaknya menyeru dan berharap penyokong Perak FC akan menjadi pemain ke-12 membanjiri stadium untuk meniup semangat pasukan Kejor Yeop Kejor pada 19 Okt menentang Sabah FC. 

"Kami juga memerlukan suntikan semangat dari luar padang dan saya berharap ribuan penyokong akan membanjiri Stadium MPM untuk memberi sokongan pada aksi penting ini.

"Perak FC berada di tempat keempat dalam carta liga dengan 15 mata selepas 10 perlawanan dengan tiga kemenangan berturut-turut setakat ini dan saya rasa keputusan itu diharap mampu menarik penyokong untuk hadir mengiringi perjuangan kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan