SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: PKBM FIKIR STRATEGI PERTAHAN EMAS LEBUH RAYA

25/10/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bertekad untuk mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai lelaki buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA 2025 di Thailand, nanti. 

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sudah memikirkan strategi terbaik untuk memastikan skuad lebuh raya negara mengekalkan sentuhan emas itu demi maruah sukan berbasikal negara.

Amarjit, yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata PKBM akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan pencapaian menang pingat emas Sukan SEA itu. 

“Bagaimanapun, ia bukan satu tugasan yang mudah kerana Thailand juga memiliki barisan pelumba terbaik. Selain itu, skuad kebangsaan bimbingan Yusuf Nasir itu juga berdepan dengan tugas sukar sekiranya tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sekiranya formula di Hanoi dan Siam Riep iaitu memerah tenaga pasukan profesional khususnya daripada Terengganu Cycling Team (TSG) menepati kehendak di Thailand, saya akan bekerja keras untuk memastikan ia boleh direalisasikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Selepas prestasi mengecewakan di Sukan SEA 2019 di Filipina, skuad berbasikal kebangsaan menebus kehampaan pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam apabila Muhammad Nur Aiman Zariff menghadiahkan pingat emas acara tersebut.

Nur Amirull Fakhruddin Mazuki kemudian mempertahankan emas itu pada edisi lepas di Siam Riep, Kemboja. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan