SUKAN > BERITA

GAGAL REBUT PELUANG, KDN FC TERPAKSA PUAS HATI KONGSI MATA

26/10/2024 10:43 AM

TEMERLOH, 26 Okt (Bernama) -- Kegagalan skuad Kelantan Darul Naim (KDN) FC menterjemahkan banyak peluang yang diperoleh membuat mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 sekali gus berkongsi satu mata berharga ketika berhadapan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super.

Penolong Ketua Jurulatihnya Rezal Zambery Yahya bagaimanapun berkata punca awal kepada keputusan seri itu disebabkan pemain membenarkan lawan menghasilkan gol pada babak kedua.

"Kita dikecewakan dengan kesilapan mudah … jika tidak peluang mendapatkan tiga mata penuh agak positif.

"Kita lebih banyak mencipta peluang tetapi gagal menterjemahkan kepada jaringan dan inilah perkara yang harus diperbaiki pada perlawanan seterusnya," katanya pada sidang media sejurus selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.

Rezal berkata  berdasarkan persembahan terkini KDN FC secara keseluruhan satu mata diraih itu mencukupi apabila bertemu pasukan disegani seperti Sri Pahang.

"Saya memang puas hati dengan persembahan kesebelasan utama kita kerana tahap keyakinan mereka agak bagus dan ketika perlawanan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

"Cuma berkaitan kad merah diterima Layth Ali pada minit terakhir itu, saya tidak pasti kenapa diberikan dan kita akan tengok semula sebelum membuat bantahan mengikut saluran yang betul," katanya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata pasukan bimbingannya masih dihantui masalah penyudah yang tumpul walaupun persembahan kedua-dua pasukan dilihat seimbang.  

"Kita ada banyak percubaan tetapi penyudah itu yang kurang dan inilah menjadi  masalah, apabila seseorang pemain itu kurang naluri menjaringkan gol ia menjadi suatu yang susah.

"Namun, kita tidak boleh berputus asa tetapi sebaliknya perlu terus berlatih dan berusaha mengatasinya, apa yang kita mahukan keyakinan mereka," katanya.

Jurulatih dari Singapura itu berkata antara perkara lain yang dirisaukan bagi meneruskan aksi seterusnya ialah isu penggantungan selepas beberapa pemain dikenakan kad kuning pada perlawanan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan