SUKAN > BERITA

ASTAF CADANG PERKENAL ASL

28/10/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bercadang memperkenalkan Liga Sepaktakraw Asia (ASL) pada masa hadapan, sebagai usaha memartabatkan lagi sukan itu.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata ASL, mengguna pakai format mengetengahkan saingan antara kelab-kelab dalam negara Asia, dengan sasaran dilaksana untuk tempoh panjang.

“ASL, satu penjenamaan baharu dan ia ada dalam pemikiran kami (bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia-PSM). Kita sedang meneliti sedalamnya bagaimana ia dapat dikembangkan secara teratur mungkin untuk tempoh lapan hingga 10 tahun.

“Siri Super Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berjalan selama lima tahun dengan berjaya, kemudian diikuti Liga Sepaktakraw (STL), tapi untuk tentukan sepak takraw terus berjalan kita perlu lakukan penjenamaan,” katanya dalam sidang media ASTAF dan PSM, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya usaha itu berhasil, pihaknya sedia untuk memperluaskan liga itu di negara serantau lain.

Sementara itu, Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata satu ketetapan dicapai bersama ASTAF, iaitu Malaysia siap sedia bergelar tuan rumah bagi penganjuran sulung Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia yang akan diadakan 10 hingga 18 Mei tahun hadapan.

Kejohanan tersebut bakal diadakan di Stadium Titiwangsa melibatkan empat acara dipertandingkan iaitu berpasukan, regu, doubles dan kuadran.

Kejohanan itu dalam masa sama bakal menjadi medan ujian serta pemanas badan kepada negara-negara yang akan menyertai temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand bermula 7 hingga 19 Dis tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan