SUKAN > BERITA

KERAJAAN MELAKA BERI INSENTIF KHAS RM50,000 KEPADA AARON CHIA

28/10/2024 10:06 PM

MELAKA, 28 Okt (Bernama) -- Pemain badminton beregu negara Aaron Chia menerima insentif khas berjumlah RM50,000 daripada kerajaan negeri Melaka atas kejayaannya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos lalu.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI), Sarawak 2024 di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM254,675 kepada 110 atlet dan 67 jurulatih yang memenangi pingat pada temasya SUKMA ke-21 pada Ogos lalu.

Ab Rauf dalam ucapannya berkata pemberian insentif yang mencatatkan nilai terbesar berbanding tahun sebelumnya diharap dapat menjadi pemangkin kepada atlet-atlet untuk terus bersemangat dan membawa kejayaan kepada bidang sukan Melaka pada masa akan datang.

“Pemberian insentif itu juga menterjemahkan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap kecemerlangan seluruh penggiat sukan yang telah mengambil bahagian sekali gus mengharumkan nama Melaka hingga ke persada dunia,”katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasa kemajuan industri sukan di negeri itu dengan mempelbagaikan program pembangunan sukan yang inklusif seiring dengan hasrat menjadikan sektor sukan di negeri itu terus gah di mata dunia.

"SUKMA kali ini menyaksikan banyak sukan berpasukan mencipta sejarah baharu apabila turut menyumbang pingat, antaranya pasukan bola sepak yang berjaya meraih kedudukan naib juara selepas kali terakhir memasuki final SUKMA 34 tahun yang lalu."

"Saya menyeru kepada semua penggiat sukan, serta jabatan dan agensi yang terlibat, untuk terus bergerak proaktif mengatur, merancang dan merangka strategi bagi persiapan kejohanan-kejohanan sukan besar pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Aaron menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Melaka kepadanya.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan dan perhatian dalam menjaga kebajikan semua atlet, sekali gus memberi suntikan semangat kepada kami untuk memberikan pencapaian yang terbaik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan