SUKAN > BERITA

GP MALAYSIA TARIK LEBIH 184,000 PENGUNJUNG, TIKET RAHMAH TERIMA SAMBUTAN BAIK - AZHAN

04/11/2024 01:49 PM

SEPANG, 4 Nov (Bernama) -- Kejuaraan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2024 berlangsung dari 1 hingga 3 Nov telah menarik lebih 184,000 penonton menyaksikan perlumbaan berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata meskipun jumlah itu tidak menepati sasaran 200,000 pengunjung, ia tetap mengatasi angka tahun lepas seramai 182,912 penonton.

“Ia merupakan hari yang sangat gembira bagi saya, walaupun kita tak capai 200,000 orang seperti yang disasarkan, kita masih berjaya catat 184,923 pengunjung iaitu hampir 185,000.

“Apa yang saya dapat simpulkan, semuanya telah berjalan dengan selamat, kita punya pemegang taruh gembira dengan pencapaian ini,” katanya kepada pemberita selepas berakhir GP Malaysia semalam.

Beliau berkata lebih menggembirakan, edisi kali ini turut menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali pertama hadir menyaksikan perlumbaan itu.

Apatah lagi penjualan tiket Rahmah berharga RM49.90 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, tambah Azhan.

“Banyak orang membeli tiket K2 Hillstand, walaupun tak berbumbung dan tak ada tempat duduk, orang ramai tetap nak beli tiket dan kita nampak, hari ini (semalam) ramai di K2 Hillstand, terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang telah banyak menyokong kami,” katanya. 

Dalam pada itu, Azhan berkata SIC bakal membuka ruang kepada pelumba tempatan untuk menjalani latihan di Sepang tanpa mengenakan sebarang bayaran dengan pelumba hanya dikenakan caj dari keperluan keselamatan dan marsyal.

 "Saya janjikan buat semua pelumba Malaysia, siapa yang ingin berlatih di sini hubungi kami, dan jika ada ruang serta slot kosong, boleh menggunakan SIC tanpa sebarang caj.

"Bagaimanapun, kita perlu menetapkan penggunaan mengikut kategori, 'kapcai' tidak boleh bercampur dengan jentera 250cc dan 600cc serta sebagainya atas aspek keselamatan. Jadi kami menjemput semua untuk berlatih di sini dengan mempertimbangkan penyewaan secara percuma," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan