KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) --Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengesahkan bahawa mereka tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak yang mendakwa telah menerima tawaran penjualan saham Sabah FC.
Presidennya Datuk Shahelmey Yahya berkata SAFA tidak pernah bertemu dengan individu atau wakil mana-mana pihak yang mendakwa mendapat ‘tawaran’ penjualan saham Sabah FC seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III turut menafikan bahawa kononnya SAFA telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkaitan penjualan saham Sabah FC.
“Sekali lagi saya tegaskan di sini, SAFA tidak pernah bertemu individu atau dengan mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenyataan tersebut dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham mengenai dakwaan tersebut.
Shahelmey berkata demikian ketika mengulas sebuah hantaran di laman Facebook melalui akaun yang menggunakan nama DSAT yang mendakwa telah ‘ditawarkan’ untuk mengambil alih Sabah FC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial