SUKAN > BERITA

TUJUAN BUKA AKAUN BANK KHAS UNTUK MUDAHKAN PSK – HANNAH

10/11/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Permintaan Kementerian Belia dan Sukan untuk Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) membuka akaun bank khas adalah untuk memudahkan urusan mereka menerima dana daripada kerajaan kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata pembukaan akaun bank khas berkenaan adalah tanggungjawab asas yang perlu dituruti PSK, bagi memastikan segala dana yang disalurkan kepada mereka dapat diaudit dan digunakan bagi membantu atlet.

“Sebelum ini selalunya bila mahu bagi dana kepada atlet elit kita yang bertanding di luar, perlu melalui proses bayaran balik bermaksud kita setuju dulu berapa yang nak ditanggung, PSK bayar dahulu kemudian mereka beri resit, kita bayar.

“Tapi kini kita nak mudahkan persatuan itu… kita beri pendahuluan dulu, tidak perlu dituntut kemudian. Contohnya (kita beri) RM100,000, anda (PSK) simpan laporan semua bagaimana anda gunakannya dengan syarat kita mesti ada peluang untuk audit duit yang diberi,” katanya pada sidang media Kejohanan Taekwondo Antara Kelab 2024 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hannah dilaporkan berkata terdapat beberapa PSK yang enggan membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya sebagai syarat utama menerima kemasukan dana daripada kerajaan.

Hannah berkata beliau tidak mahu mendengar rungutan daripada PSK yang mempersoalkan mengapa bayaran yang dituntut lambat dibayar, dan disebabkan itu pihaknya membuat pembaharuan menyalurkan dana secara terus dengan syarat mereka perlu membuka akaun bank khas terlebih dahulu untuk menerimanya.

“Kalau tak buka akaun khas macam mana saya nak salurkan duit? Ini asas jika nak mohon mana-mana pun. Seperti saya sebagai Ahli Parlimen, bila terima peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri, saya perlu buka akaun khas untuk mereka audit bagaimana saya gunakan duit diterima.

“Saya rasa bukan sahaja kerajaan, malah bila penaja beri duit pun mereka mahu tahu duit itu dibelanjakan, ia perkara biasa,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata sembilan daripada 19 PSK, masih belum membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya setakat ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata sesi pascanilai Sukan Olimpik 2024 di Paris, Khamis ini mungkin memakan masa sehari dengan bantuan dan penglibatan wakil Nippon Sports Science University dari Jepun, bagi menyiasat punca kontinjen negara tidak berupaya menjelmakan emas sulung pada temasya sukan berprestij dunia berkenaan.

Malaysia menamatkan saingan pada Sukan Olimpik 2024 dengan dua gangsa daripada sukan badminton menerusi juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia.

Sementara itu, sejumlah 1,500 atlet dari 253 kelab taekwondo seluruh negara menyertai Kejohanan Taekwondo Antara Kelab 2024, bagi mencungkil bakat baharu yang berpotensi diserap ke dalam skuad pelapis kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan