SUKAN > BERITA

ABU SAMAH LAKAR KEMENANGAN BERGANDA PADA PIALA TERTUTUP KARVINA 2024

18/11/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pemain tenis kerusi roda negara Abu Samah Borhan menamatkan kempen dengan bergaya selepas merangkul kejuaraan berganda dalam kategori perseorangan dan beregu pada Piala Tertutup Karvina 2024 di Czechia semalam.

Atlet berusia 39 tahun itu menewaskan Jacub Dominik Bukala dari Poland pada perlawanan akhir perseorangan dengan keputusan 6-1, 7-6, manakala dalam acara beregu Abu Samah yang bergandingan dengan Martin Legner melakar kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pasangan Poland, Jacub Dominik-Kamil Fabisiak.

Kejayaan itu hadir selepas Abu Samah melakar kemenangan penting minggu lepas, apabila beliau yang bergandingan dengan Andrew Penney menewaskan Ruben Harris dan Dahnon Ward dari Great Britain, 6-1, 6-3 pada perlawanan akhir beregu di kejohanan Abingdon Futures.

Setelah merekodkan tiga gelaran dalam masa dua minggu, Abu Samah bersedia untuk menamatkan jelajah Eropah beliau pada Piala Tertutup Prague 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Nov.

Sebelum ini Abu Samah memenangi emas dan perak pada Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur dan merangkul pingat perak pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan