SUKAN > BERITA

MGF KEKAL OPTIMIS SASAR DUA PINGAT EMAS DI SUKAN SEA 2025

03/12/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) kekal optimis dengan sasaran dua pingat emas, masing-masing satu dalam kategori wanita dan lelaki pada temasya Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung di Thailand.

Timbalan Presiden MGF Kau Git Kaur berkata sasaran tersebut tidak berubah walaupun kecewa dengan keputusan tuan rumah yang mengurangkan jumlah acara yang menawarkan pingat emas.

Beliau berkata sasaran itu disandarkan kepada prestasi beberapa gimnas negara termasuk Rachel Yeoh yang akan bersaing dalam kategori gimnastik artistik wanita, manakala Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dan Ng Chun Chen akan beraksi dalam kategori gimnastik artistik lelaki.

“Jumlah keseluruhan acara lelaki dan wanita sepatutnya ada 14 tetapi di Bangkok tahun depan hanya akan ada 10. Jadi, hampir 30 peratus pingat emas telah dikurangkan. Itu memang tidak betul, tetapi keputusan itu nampaknya sudah kekal.

“Minggu lepas, ketika mesyuarat di Bangkok, saya telah bangkitkan perkara ini. Saya beritahu negara lain bahawa setiap pengurangan pingat emas bermakna kita seperti 'membunuh' potensi seorang atlet.

“Kita tahu betapa pentingnya satu pingat emas; ia mungkin dapat mengubah kehidupan seorang atlet,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Kau Git turut memaklumkan bahawa empat acara yang digugurkan ialah all-around individu lelaki dan wanita serta acara berpasukan lelaki dan wanita.

Beliau juga berharap bintang gimnastik Filipina Carlos Yulom yang memenangi dua pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024, tidak menyertai temasya dwitahunan itu kerana tahapnya kini jauh lebih tinggi berbanding peserta lain.

Kau Git bagaimanapun berkata pihaknya telah mengatur langkah proaktif untuk menangani isu berkenaan dengan menghantar lebih 20 gimnas ke Korea Selatan selama tiga minggu pada Julai hingga Ogos tahun depan bagi menjalani latihan intensif.

 Selain itu, mereka juga akan menyertai Kejohanan Asia di Korea Selatan sebagai persediaan bagi meningkatkan motivasi dan semangat juang menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis tahun depan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan