KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pemain tengah Malaysia Paulo Josue mengakui kerjasama dan kegigihan pasukan membawa kepada kemenangan 3-2 menentang Timor-Leste pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Josue juga akur bahawa Malaysia berdepan cabaran yang tidak dijangka termasuk prestasi cemerlang dan pertahanan kukuh pihak lawan yang berjaya menyekat cubaan Harimau Malaya untuk memanfaatkan peluang pada separuh masa pertama.
"Saya rasa perkara paling penting malam ini (malam tadi) ialah tiga mata. Pasukan mereka agak mengejutkan kami, dan kami bergelut untuk mengawal permainan dengan berkesan pada babak pertama. Kami terlepas peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol awal, dan situasi itu memberikan tekanan kepada pasukan.
"Pada separuh masa kedua, kami menunjukkan karakter dan kekuatan sebenar. Kami bekerja sebagai satu pasukan dan terus berjuang. Syukur kepada tuhan kami dapat tiga mata. Kini, kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya menentang Thailand dan bermain habis-habisan untuk mendapat keputusan baik di sana," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.
Pemain berusia 34 tahun itu percaya pasukannya mempunyai kelebihan fizikal terutama apabila Timor-Leste kelihatan letih pada babak kedua.
Sementara itu, pemain kelahiran Brazil itu mengakui kekurangan masa latihan dan tekanan semasa perlawanan menjadi cabaran kepada prestasi pemain muda dalam perlawanan berkenaan.
"Beberapa pemain muda berasa sedikit tertekan, tetapi ia normal. Kami di sini untuk membantu dan membimbing mereka. Mereka telah melakukan terbaik, walaupun perlawanan ini kali pertama kami beraksi bersama-sama dengan hanya dua, tiga hari persediaan. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan rancangan jurulatih dalam keadaan ini," katanya.
Josue turut menekankan kepentingan perpaduan dan tumpuan ketika Malaysia bersiap sedia untuk bertemu Thailand pada perlawanan Kumpulan A seterusnya.
Malam tadi, Harimau Malaya nyaris dimalukan pasukan kerdil Timor-Leste selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2.
Penyerang naturalisasi Josue mucul wira skuad Harimau Malaya apabila meledak dua gol pada babak kedua untuk mengubah kedudukan selepas Timor-Leste yang merupakan pasukan di ranking ke-196 dunia mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-38 manakala dua gol Timor-Leste dijaringkan oleh Olagar Xavier dan kapten Joao Pedro pada masa kecederaan babak pertama.
Pasukan kebangsaan akan membuat perhitungan menentang Thailand di Bangkok pada perlawanan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 seterusnya, di Stadium Nasional Rajamangala Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial