SUKAN > BERITA

EKOR HARIMAU MALAYA BANJIRI STADIUM BUKIT JALIL

20/12/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Bahang perlawanan antara Malaysia dan Singapura bagi aksi Kumpulan A Piala ASEAN 2024 mula dirasai dengan lautan 'kuning hitam' penyokong tempatan membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sejak 4 petang tadi. 

Skuad Harimau Malaya bimbingan Pau Marti Vicente yang kini berada di kedudukan ke-132 dunia akan bertemu Singapura (ke-160 dunia) pada aksi terakhir negara bagi peringkat kumpulan, bermula 9 malam ini. 

Penyokong pasukan kebangsaan, Mohammad Hafiz Mohd Yusof, membawa isteri dan empat orang anaknya dari Pulau Pinang ke SNBJ bagi menyaksikan perlawanan malam ini. 

"Saya ambil cuti untuk ke sini, bergerak dari Pulau Pinang pada jam 7 pagi tadi dan bermalam di Kuala Lumpur untuk saksikan perlawanan ini. 

"Kami sekeluarga memang meminati bola sepak, anak saya Nur Qistina Uzma Mohammad Hafiz merupakan pemain bagi kelab Real CJ Penang yang beraksi bagi Liga Wanita Nasional (LWN)," katanya kepada pemberita hari ini. 

Sementara itu, pasangan pelancong dari Jerman Romina Zettl dan Johannes Piepel turut tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menonton aksi bola sepak di rantau ini.  

"Saya dapati di internet tiket tidak berapa mahal dan putuskan untuk datang ke sini dan menyaksikan perlawanan Piala ASEAN. Saya rasa Malaysia ada kekuatan untuk memenangi perlawanan," kata Romina.

Kelihatan penyokong Singapura turut memenuhi kawasan stadium selain aktiviti dan jualan yang turut menyemarakkan suasana sebelum sepak mula.

Dianggarkan hampir 22,000 penonton akan memenuhi stadium malam ini apabila lebih 21,000 tiket telah terjual setakat 6 petang tadi.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dengan empat mata, berkongsi mata dengan Kemboja yang berada di tangga ketiga.

Singapura pula di tempat kedua dengan enam mata manakala juara bertahan Thailand telah pun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir sebagai pendahulu kumpulan dengan sembilan mata.

Untuk rekod, perlawanan malam ini adalah ulangan pertemuan terakhir Kumpulan B edisi 2022, yang menyaksikan Malaysia bangkit menewaskan Singapura 4-1 di gelanggang sama untuk layak ke separuh akhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan