SUKAN > BERITA

HAZIQ NAZLI AKUI CORAK PERMAINAN BERISIKO, BELAJAR DARIPADA KESILAPAN

21/12/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli mengakui corak permainannya sangat berisiko kerana lebih banyak menggunakan kaki untuk menjaga gawang Harimau Malaya daripada dibolosi pada kempen Piala ASEAN 2024 baru-baru ini. 

Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun berkata beliau sudah belajar daripada kesilapan dan akan terus bekerja keras untuk menambah baik teknik pertahanan itu agar tidak lagi berisiko untuk menghadapi perlawanan akan datang sekiranya masih diberi peluang beraksi bersama pasukan negara. 

"Bagi saya kesilapan adalah satu pembelajaran dalam bola sepak dan corak permainan saya agak berisiko sebab saya banyak menggunakan kaki.

 "Jadi saya perlu sesuaikan diri dan belajar dari semasa ke semasa, kawan-kawan banyak beri sokongan dari segi mental dan terima kasih jurulatih kerana bagi saya peluang," katanya kepada pemberita pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini semalam. 

Pemain kelab Johor Darul Ta'zim itu dilaporkan melakukan kesilapan mudah pada aksi ketiga Kumpulan A menentang Thailand yang memberi peluang kepada pasukan lawan untuk membolosi gawang pasukan negara, yang menyebabkan Malaysia tewas 0-1. 

Haziq Nadzli bertindak “kurang cermat” ketika mengeluarkan bola pada minit ke-57, yang memberi ruang kepada Patrik Gustavsson melepaskan rembatan ke gawang yang sudah terbuka luas.

Bagaimanapun pada aksi terakhir Kumpulan A bertemu Singapura semalam, Haziq Nadzli menampilkan aksi cemerlang sebelum dinobatkan sebagai “Man of the Match” meskipun Harimau Malaya seri tanpa jaringan dengan pasukan pelawat. 

Sementara itu penyerang Harimau Malaya Sergio Aguero mengkritik tindakan kelab yang memanggil pulang pemain-pemain mereka semasa pasukan kebangsaan masih menghadapi kempen Piala ASEAN 2024.

Pemain Sri Pahang itu berkata tindakan yang dilakukan oleh beberapa kelab Liga Malaysia itu tidak betul, kerana mereka sepatutnya menyokong skuad kebangsaan.

"Itu adalah perkara penting dan saya mengucapkan terima kasih kepada Pahang kerana mereka memberikan kebenaran kepada saya sejak awal kempen lagi.

"Terima kasih kepada kelab yang memberi kebenaran kepada pemain mereka, dan selepas beberapa kali pulang ke kelab, mereka sekali lagi dibenarkan menyertai pasukan kebangsaan. Itu adalah sesuatu yang salah (tidak membenarkan pemain menyertai pasukan kebangsaan). Mereka perlu memikirkan satu tindakan yang baik sekiranya mereka menyokong pasukan kebangsaan," katanya.

Malaysia ditunjukkan jalan keluar daripada kempen Piala ASEAN 2024 selepas seri tanpa jaringan menentang musuh tradisi Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional di Bukit Jalil semalam.

Keputusan seri itu mengesahkan kedudukan Singapura sebagai naib juara untuk mara ke peringkat kalah mati bersama juara bertahan Thailand, yang mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A.

Dalam satu lagi perlawanan, Thailand menewaskan Kemboja 3-2 di Bangkok untuk mengumpul 12 mata, diikuti Singapura (tujuh), Malaysia (lima), Kemboja (empat) dan Timor-Leste di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Thailand akan menentang naib juara Kumpulan B pada aksi separuh akhir, manakala Singapura pula berdepan juara kumpulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan