KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pesilat negara V Thamaraj yang menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Beliau berkata Thamaraj mencipta sejarah tersendiri dengan menewaskan pesilat Uzbekistan Khudoyberdiev Diyobek untuk membawa pulang pingat emas dan juga muncul juara dunia.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut berbangga dengan pencapaian skuad silat negara di kejohanan dunia itu apabila pesilat senior membawa pulang enam emas, sembilan perak dan empat gangsa manakala pesilat remaja meraih lima emas dan masing-masing empat perak dan gangsa.
"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang. InsyaAllah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang turut bersama-sama pesilat negara bagi memberi sokongan moral dan semangat kepada wakil negara.
Megat Zulkarnain menerusi hantaran di Facebook turut memaklumkan Thamaraj telah mencipta sejarah sebagai pesilat pertama negara berbangsa India yang muncul seorang daripada juara dunia di kejohanan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial