SUKAN > BERITA

TEKNIK SILAT PIKAT THAMARAJ TERJUN KE DUNIA PERSILATAN

23/12/2024 04:53 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Kepelbagaian teknik seni persilatan Melayu ternyata menarik minat seorang anak kelahiran Kedah berbangsa India untuk menceburi sukan mempertahankan diri. 

Bagi V. Thamaraj selain mahu mencipta kelainan dan meneroka sesuatu yang baharu, teknik seperti sapuan, guntingan mahupun tangkapan penuh bergaya menjadi pendorong pesilat negara ini untuk lebih mendalami sukan berkenaan.

Ternyata usaha beliau membuahkan hasil apabila melakar sejarah tersendiri bergelar juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Pemilik susuk tubuh berusia 28 tahun dan berkhidmat sebagai tentera berpangkat Kpl di 9 Komp Kor Polis Tentera Diraja itu berkata pada asalnya beliau merupakan atlet taekwondo sebelum berkecimpung dalam seni silat. 

“Saya sertai skuad negara selepas memenangi pingat emas di Kejuaraan Silat Kebangsaan ke-20 pada 2022 di Johor. Asalnya bermain sukan taekwondo pada 2016 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Nak bertukar ke dunia silat agak susah juga ketika itu … sebab cara permainan dan peraturannya tak sama.Tapi saya berlatih dengan jurulatih yang mahir dan bekas juara dunia buat saya cepat belajar teknik dan peraturan silat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berkongsi sejarah manis yang dilakarnya, Thamaraj mengakui seolah-olah berada di awang-awangan selepas berjaya menundukkan pesilat Uzbekistan Khudoyberdiev Diyobek dalam Kelas Bebas Putera untuk merangkul pingat emas. 

“Saya memang berhasrat untuk dapatkan pingat emas pada kejohanan dunia kali ini dengan bantuan dan semangat dari keluarga, kawan-kawan, jurulatih, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Semalam, Thamaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang satu daripada enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia itu yang turut menyaksikan Malaysia membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa. 

Selain itu, pesilat remaja negara juga tidak kurang hebat apabila meraih lima emas dan masing-masing empat perak dan gangsa dalam Kejohanan Silat Remaja Dunia yang berlangsung di venue sama.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Thamaraj atas kejayaan membanggakan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan