GUA MUSANG, 25 April (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti (SPEGKOM) sebagai usaha mengekang gangguan haiwan liar di kawasan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pemasangan SPEGKOM sepanjang 1.6 kilometer di Ladang Subong di RPT tersebut merupakan projek komuniti yang pertama di Kelantan.
Beliau berkata pemasangan pagar berkenaan sekali gus dapat memanfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung yang menetap di sekitar Kampung Subong, Kampung Sungai Terah, Kampung Awek dan Kampung Kundur.
“Pemasangan telah bermula pada 21 April lepas yang turut melibatkan penduduk kampung serta pihak ladang.
“Pemasangan SPEGKOM dilaksanakan di kawasan aduan aktif gangguan haiwan liar dan kita dapati kehadiran gajah liar kerap berlaku di sekitar RPT Kesedar Sungai Terah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Hafid berkata setakat ini tujuh ekor gajah liar telah ditangkap dan dipindahkan dari sini dalam tempoh 2021 hingga 2024,
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) RPT Sungai Terah, Wan Mohd Suhanis Wan Sulaiman berharap agar pemasangan pagar elektrik berkenaan dapat menyelesaikan kemelut yang dialami penduduk sejak hampir empat tahun lepas.
Beliau berkata haiwan itu bukan sahaja menceroboh kawasan ladang dan kebun malah merosakkan tanaman penduduk kampung.
"Kami kerugian dalam jumlah yang agak besar kerana masalah ini telah berlarutan sejak 2021 hingga sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berterima kasih atas kesediaan pihak Perhilitan mengeluarkan peruntukan bagi menyelesaikan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Mohd Syahbuddin berkata pembinaan pagar ini bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada pekebun tetapi pada masa sama mengelakkan haiwan liar daripada masuk ke kampung bersebelahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial