KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia menarik diri daripada pembukaan musim Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2025 di Terbuka Malaysia yang dijadualkan bermula di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Selasa ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Team LZJ di media sosial hari ini, pemain nombor enam dunia itu terpaksa membuat keputusan tersebut selepas masih belum sepenuhnya pulih daripada kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya semasa Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
“Penyertaannya di Terbuka India dan Masters Indonesia yang turut dijadualkan pada bulan ini masih dalam pertimbangan, bergantung kepada tahap pemulihannya sepenuhnya,” menurut kenyataan tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini diundi untuk bertemu pemain Taiwan Su Li Yang pada aksi pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.45 juta (RM6.52 juta).
Di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, Zii Jia terpaksa menarik diri ketika mendahului set kedua bertemu pemain China, Li Shi Feng, dalam aksi terakhir Kumpulan A.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial