SUKAN > BERITA

SKUAD BOLING LELAKI NEGARA RANGKUL GELARAN PIALA DUNIA IBF

14/01/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Skuad boling lelaki negara mencipta sejarah apabila buat pertama kali merangkul trofi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Kowloon, Hong Kong hari ini.

Pada aksi final di Top Bowl, Kai Tak Sports Park, pasukan negara berdepan cabaran hebat untuk menewaskan Puerto Rico 3-2  (203-179, 216-257, 197-180, 185-222, 227-161).

Pasukan lelaki ini terdiri daripada Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Ini adalah gelaran pertama untuk pasukan lelaki negara sejak acara berpasukan diperkenalkan pada 2022, di mana mereka tewas 2-3 kepada Filipina pada suku akhir edisi terdahulu di Queensland, Australia.

Sebelum itu, Malaysia menewaskan Kuwait 3-1 (205-153, 159-201, 245-206,234-233) untuk mara ke final, manakala Puerto Rico berjaya membalas kekalahan 1-3 kepada juara bertahan Amerika Syarikat dalam final edisi lepas dengan mengalahkan lawan yang sama 3-1 (186-175, 158-234, 200-196,210-177).

Sementara itu, pada perlawanan final, skuad wanita negara gagal merebut kejuaraan selepas tewas kepada Amerika Syarikat 3-2 dengan keputusan 195-214, 222-211, 176-198, 220-210, 180-211.

Pasukan wanita yang diketuai pemain nombor satu Asia, Sin Li Jane, bersama juara dunia semasa Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim, sebelum ini menewaskan Macau 3-0 (202-184, 211-178, 205-176) untuk mara ke perlawanan akhir.

Untuk rekod, dalam edisi lepas, pasukan wanita hanya meraih pingat gangsa pada 2022 selepas mengatasi Amerika Syarikat 3-2 dalam perlawanan penentuan pingat di Queensland, Australia.

Pada 2022, struktur kejohanan telah diubah untuk memberi fokus kepada perlawanan berpasukan dan memperkenalkan pertandingan berpasukan, beralih daripada format asal yang hanya melibatkan pertandingan individu sejak 1965.

Pada Jumaat lepas, Natasha menamatkan penantian 53 tahun negara apabila menjadi wanita Malaysia pertama memenangi Piala Dunia, mengalahkan wakil Jerman, Birgit Noreiks 2-0 (217-166, 226-169) dalam final perseorangan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan