SUKAN > BERITA

MHL: PEMAIN TERMUDA ARVIND TERUJA BUAT PENAMPILAN SULUNG

14/01/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) --Pemain termuda Arvind Zachary Steven sedia untuk bersaing dengan pemain senior dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025.

Penyerang berusia 15 tahun itu mungkin akan membuat penampilan sulung bersama pasukan pendatang baharu Matador dalam perlawanan pembukaan menentang Nurinsafi Sporting di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, esok.

Bercakap kepada Bernama, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya itu mengakui teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan dan beraksi dalam liga pada usia muda selepas terlibat dengan hoki sejak berusia tujuh tahun.

"Semestinya, sukar untuk bermain menentang pemain yang berpengalaman dan terbaik negara, selain beberapa pemain import. Namun, saya percaya dapat beraksi dengan baik menerusi sokongan jurulatih dan rakan pasukan."

"Saya mungkin turun beraksi kali pertama esok, jika jurulatih memberi peluang. Harapnya, saya dapat bermain dengan baik, malah mungkin menjaringkan beberapa gol," katanya.

Arvind berkata dirinya memulakan perjalanan sukan dengan golf, namun ibu bapanya menggalakkannya untuk menyertai sukan lain semasa di sekolah rendah menyebabkan beliau memilih untuk menyertai hoki di sekolah dan kelab.

Anak kelahiran Seberang Perai itu kemudiannya menyertai Akademi Hoki Jiwa Mohan selepas pandemik COVID-19, yang meningkatkan kemahiran beliau dalam sukan tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi saingan MHL, Arvind berkata pasukannya yang dibimbing oleh ketua hurulatih K. Yogeswaran itu menjalani latihan keras dengan standard yang sangat tinggi.

"Ia sangat sukar, yang tidak pernah saya lalui sebelum ini, sama ada di akademi mahupun semasa mengikuti latihan bersama legenda Jerman, Paul Lissek. Apa sahaja yang diajar jurulatih (Yogeswaran) adalah sesuatu yang baharu dan saya berharap ia sangat membantu meningkatkan karier saya," katanya.

Selepas menentang Nurinsafi Sporting, Matador, sebahagian besar dibarisi pemain kebangsaan akistan, akan berdepan cabaran lebih getir menentang pasukan pilihan Maybank pada Jumaat dan juara treble Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Ahad dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan