NILAI, 22 Jan (Bernama) -- Atlet berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta kemenangan hatrik dalam acara pecut dalam kejohanan Siri Tiga Piala Presiden di Velodrom Nasional di sini hari ini.
Atlet berusia 22 tahun itu, mempamerkan kayuhan bertenanga untuk merangkul pingat emas sekali gus mengetepikan rakan senegara Nur Alyssa Mohd Farid 2-0, pada aksi final hari ini.
Mengulas mengenai kejohanan, pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2024 itu berkata meskipun Nur Alyssa merupakan juniornya, beliau terpaksa bekerja keras untuk mengungguli acara itu sebentar tadi.
“Keseluruhan acara ini memang penat, tapi saya rasa prestasi saya bertambah baik, Alhamdulillah, Alyssa bagi saya cabaran yang baik, memang saya berusaha untuk menang tadi,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan di sini hari ini.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata kejayaannya itu pada masa sama memberi tonik tambahan buatnya untuk membuktikan prestasi cemerlang pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) di sini pada 21-27 Feb.
Beliau pada masa sama turut memasang tekad untuk merampas semula pingat emas daripada Kim Haeun dari Korea, selepas sekadar meraih pingat perak pada kejohanan sama siri kedua.
Sebagai rekod, Nurul Izzah turut meraih emas pada Siri Satu dan Siri Dua Piala Presiden acara pecut minggu lepas.
Bagi acara keirin pula beliau meraih emas pada Siri Satu, namun sekadar meraih perak pada Siri Dua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial