SUKAN > BERITA

PASUKAN THE NEXT FACTOR HAMPIRI KEJUARAAN RLIR 2025

24/01/2025 09:36 PM

LANGKAWI, 24 Jan (Bernama) -- Pasukan The Next Factor dari Malaysia semakin hampir dinobatkan sebagai juara baharu bagi kelas Racing pada Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2025, di sini menjelang saingan dua pusingan perlumbaan terakhir esok.

Pasukan yang dikemudi Rolf Heemskerk itu terus selesa di tempat pertama apabila mengumpul 10 mata penalti selepas tamat lapan pusingan perlumbaan, sekali gus meninggalkan tiga lagi pencabar di belakang.

Pasukan Blitz dari Hong Kong berada di tempat kedua dengan 15 mata penalti, diikuti pasukan Vayu dari Thailand dengan 18 mata penalti dan pasukan ATM Sailing Team dari Malaysia di tempat tercorot mengutip 26 mata penalti.

Heemskerk berkata beliau berharap pasukannya dapat menamatkan dua pusingan perlumbaan esok di kedudukan pertama tanpa melakukan sebarang kesilapan besar bagi memastikan kejuaraan kelas Racing.

Sementara itu, dalam kelas IRC1, peluang pasukan Mata Hari dari Malaysia untuk menang buat kali kelapan dilihat tipis apabila pasukan Char Chan dari Jepun terus jauh meninggalkan peserta lain walaupun hilang kelayakan dalam pusingan kelapan hari ini.

Char Chan yang meraih lapan mata penalti unggul mendahului, diikuti Mata Hari dengan 13 mata penalti dan pasukan Team Jolt dari Singapura yang memperoleh 19 mata penalti.

Perlumbaan hari ini juga dikejutkan dengan insiden kapal layar milik pasukan Boreas dari kelas Multihull terbalik sehingga menyebabkan seorang kru kapal mengalami kecederaan dan ini merupakan kali pertama insiden seumpama itu berlaku dalam penganjuran RLIR.

RLIR 2025 yang diadakan di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) berlangsung lima hari bermula Selasa lepas dengan enam kategori dipertandingkan iaitu Kelas Racing, Kelas IRC1, Kelas IRC2, Kelas Sportboats, Kelas Multihull dan Kelas Club.

 

KEPUTUSAN HARI KEEMPAT

 

KELAS RACING (selepas lapan pusingan) :

1.The Next Factor (MAS) 10 mata penalti

2.Blitz (HKG) 15 mata penalti

3.Vayu (THA) 18 mata penalti

4.ATM Sailing Team (MAS) 26 mata penalti

 

KELAS IRC1 (selepas lapan pusingan) :

1.Char Chan (JPN) 8 mata penalti

2.Mata Hari (MAS) 13 mata penalti

3.Team Jolt (SGP) 19 mata penalti

4.Red Rum One (SGP) 33 mata penalti

5.Sailing Dream (CHN) 36 mata penalti

6.Venture (NEU) 38 mata penalti

7.Uminoko (KGZ) 40 mata penalti

8.Kesini (SGP) 49 mata penalti

9.Team Malabar (MAS) 57 mata penalti

 

KELAS IRC2 (selepas tujuh pusingan) :

1.Phoenix (DEN) 7 mata penalti

2.PDRM Sailing Team (MAS) 13 mata penalti

3.The Blue Angel (MAS) 16 mata penalti

4.Telaga Sail99 - UMT Racing Team (MAS) 19 mata penalti

5.VG Offshore (MAS) 30 mata penalti

 

KELAS SPORTBOATS (selepas lapan pusingan) :

1.RSYC Racing Team (MAS) 7 mata penalti

2.Navy 2 (MAS) 15 mata penalti

3.Navy 1 (MAS) 18 mata penalti

4.RSYC Sailing Team (MAS) 28 mata penalti

 

KELAS MULTIHULL (selepas tujuh pusingan) :

1.Haruki (AUS) 10 mata penalti

2.Twin Sharks (THA) 10 mata penalti

3.WOW (GBR) 13 mata penalti

4.Boreas (AUS) 24 mata penalti

5.Trident (GBR) 29 mata penalti

 

KELAS CLUB (selepas tujuh pusingan) :

1.Dash (MAS) 6 mata penalti

2.Wind of Change (NEU) 14 mata penalti

3.Suraya (AUS) 15 mata penalti

4.Marikh (MAS) 20 mata penalti

5.Onisama Sailing Racing (CHN) 28 mata penalti

6.Red Cap Sailing School (GBR) 34 mata penalti

7.Tofan (MAS) 42 mata penalti

8.Eveline (MAS) 43 mata penalti

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan