KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Bakat kejurulatihan anak tempatan terus ditagih di persada sukan antarabangsa apabila giliran bekas pelumba trek kebangsaan Mohd Rizal Tisin pula diberi kepercayaan membimbing skuad Thailand.
Mohd Rizal, yang memulakan tugas sebagai jurulatih berbasikal trek di negara jiran itu sejak bulan lepas, berkata beliau diberikan kontrak selama setahun oleh Thaicycling Association.
Jurulatih berusia 40 tahun itu yang pernah melatih skuad Singapura, Indonesia serta negara berkata objektif utama Thaicycling Association melantiknya adalah bagi membantu barisan pelumba negara tersebut menghadapi saingan Sukan SEA 2025 di Thailand pada 9-20 Dis tahun ini.
“Sebenarnya mereka (Thailand) telah tawarkan sejak 2018 lagi tetapi saya tolak kerana terikat kontrak dengan Singapura.
“Selepas tamat tugasan bersama Indonesia pada Mei lepas, Thailand tawarkan semula jawatan jurulatih. Saya setuju dengan tawaran itu pada Disember lepas dan mula sertai Januari 2025,” katanya kepada Bernama.
Mohd Rizal pada masa sama mengakui beliau sebenarnya menunggu tawaran untuk kembali ke dalam barisan kejurulatihan skuad negara namun difahamkan tiada kekosongan ketika ini.
Dalam pada itu, Olimpian negara itu berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan anak buahnya setakat ini lebih-lebih lagi selepas membawa pulang dua gangsa pada tugasan pertama selaku jurulatih di Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, Nilai, bulan lepas.
Dua pingat gangsa tersebut masing-masing disumbangkan oleh Kanawat Chuathahan (keirin lelaki junior) dan Sirawit Saensai (pecut lelaki junior).
Beliau berkata ketika ini sedang fokus melatih barisan pelumba termasuk prospek utama yang juga pemenang pingat perak keirin lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia 2024 Luoyang, China, Norasetthada Bunma bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 pada 21-27 Feb ini di Velodrom Nasional.
“Saya harap prestasi pelumba Thailand akan meningkat di ATC 2025 selepas beraksi di Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1,” katanya.
Mohd Rizal berkata beliau juga dijangka akan terlibat dengan mesyuarat rasmi bersama Thaicycling Association sebelum ATC 2025 bagi menetapkan hala tuju skuad berbasikal negara itu termasuk sasaran pingat pada Sukan SEA 2025, yang bakal berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Selain Mohd Rizal, negara baru-baru ini kehilangan dua bekas penerjun Wendy Ng Yan Yee yang berkhidmat sebagai jurulatih pembangunan bakat penerjun kebangsaan Singapura dan bekas pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan Bryan Nickson Lomas yang dipancing negara di benua Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial