SHAH ALAM, 6 Feb (Bernama) -- Sebanyak 448 pelajar daripada 64 sekolah menengah di seluruh Selangor bakal berentap pada kejohanan e-sukan Selangor Future Cup 2025 di pusat beli-belah Aeon Mall Shah Alam di sini, bermula 22 Feb ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata kejohanan dua hari yang julung kali diadakan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM200,000 bagi mengembangkan bakat pelajar bawah 17 tahun dalam bidang e-sukan secara kompetitif selain membina kemahiran strategik, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.
Beliau berkata setiap sekolah akan menghantar tujuh orang wakil dan kesemua 448 peserta dinilai dan berpeluang mengisi slot mewakili Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan.
“Selangor Future Cup menyaksikan para peserta akan bersaing dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) secara liga dan selain hadiah RM200,000, enam pemenang juga bakal ditawarkan biasiswa pengajian bernilai RM160,000 hingga ke peringkat diploma oleh pihak Akademi Todak.
“Diploma yang ditawarkan meliputi modul serta kursus kemahiran membabitkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional seterusnya membuka ruang memberdayakan diri dalam bidang akademik,” katanya pada sidang media kejohanan itu di sini hari ini.
Selangor Future Cup 2025 turut melibatkan kolaborasi bersama pihak Selangor Red Giants (SRG) dan Todak yang akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata pihaknya mempertimbangkan secara serius memasukkan e-sukan sebagai satu daripada acara untuk dipertandingkan pada temasya SUKMA 2026.
“Berdasarkan sambutan baik acara e-sukan ketika SUKMA di Sarawak, Selangor berhasrat mengekalkan acara itu dan keputusan mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya Ogos depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial