KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sasaran pingat bagi Sukan SEA 2025 ditetapkan mengikut jumlah keseluruhan, bukan mengikut warna, dan dibuat dengan mengambil saranan pakar.
Beliau menjelaskan bahawa melalui kerjasama dengan pakar dari Nippon Sports Science University (NSSU) di Jepun, yang telah melahirkan lebih 40 pemenang pingat emas Olimpik, pihak mereka mempersoalkan mengapa Malaysia masih mengikut kelaziman sasaran mengikut warna pingat, sedangkan banyak negara lain sudah beralih daripada amalan tersebut.
"Ia bukanlah hanya saranan saya, tetapi datang dari NSSU. Ketika kami berbincang, mereka bertanya mengapa Malaysia masih menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat, sedangkan negara lain sudah tidak lagi mengamalkannya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini hari ini.
Hannah berkata mereka juga mendengar pandangan daripada atlet, namun beliau juga mahu mendengar nasihat daripada pakar.
"NSSU telah menghantar lebih 40 pemenang pingat emas Olimpik, jadi sudah tentu mereka tahu apa yang mereka katakan," tambahnya.
"Bukan kami tidak mendengar. Kami mendengar, tetapi di sini tiada gunanya kami menandatangani MoU, kami menjemput pakar yang datang dan pada akhirnya beritahu mereka maaflah saya tidak ingin mendengar kata-kata anda kerana saya fikir Malaysia lebih tahu.
"Jika ia memberi kesan baik buat Jepun, Australia serta negara pakar lain saya ingin memberikannya peluang," katanya.
Pada sesi soal jawab Dewan Rakyat Rabu lepas, Hannah mengumumkan bahawa sasaran pingat tanpa warna akan diperkenalkan pada Sukan SEA 2025, satu langkah yang turut dilaksanakan pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou.
Secara tradisinya, Malaysia sentiasa mengumumkan sasaran pingat emas tertentu dan satu-satunya pengecualian sebelum Hangzhou ialah Sukan SEA 2015 ketika Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menetapkan sasaran berdasarkan peratusan pingat (56 peratus acara dipertandingkan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial